Tuesday, 29 October 2013

Solat Itu Cantik


Teks: ain akib


MAKAN SETIAP HARI

Setiap hari kita mesti makan. Jika tidak, perut akan berkeroncong dan dimasuki angin. Lebih teruk lagi apabila angin sepoi-sepoi bahasa itu naik sehingga kepala menjadi migrain. Badan pun surrender pada arahan otak yang tidak seperti kebiasaan. Sudahnya, pekerjaan kita pun tidak dapat diselesaikan dengan baik. Itulah bahana meninggalkan waktu makan, sumber untuk kesihatan fizikal tubuh dan mental.

'Rohani pula bagaimana ya? Adakah penting untuk dibelai dan diberi makan dan perhatian agar ia berfungsi dengan baik?'

YA. Sangat perlu menyeimbangkan kesihatan fizikal, mental dan rohani kerana bilamana pincangnya salah satu itu, maka berlakulah kepincangan dalam sistem manusia itu sendiri. Mungkin dari sudut fikiran, tindakan mahupun kata-kata.


IBADAH MEMBINA RASA


Imej: Carian Google

Rohani merujuk kepada dalaman kita yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Deria utamanya adalah RASA
Makanan bagi rohani ini adalah IBADAH yang menimbulkan RASA membina manakala rasa yang meruntuh adalah junkfood.
RASA membina inilah yang akan membina kita menjadi lebih tenang dan bahagia.

RASA ini diperoleh dari ibadah am dan ibadah khusus.
RASA yang lahir dari syukur bila dibangunkanNYA kita dari tidur. Masih diberi kesempatan menjalani satu hari dalam kehidupan.
RASA yang lahir dari dikasihi Allah bila mampu melawan desakan syaitan untuk bangun subuh menunaikan hak kita kepada Pencipta.
RASA yang lahir dari diberkati Allah bila dikurniakan masa untuk bertasbih, bertahmid memuji kebesaranNya. Juga meminta kebaikan-kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat.

RASA yang lahir dari ketenangan apabila awalan hari dimulakan dengan mengenalpasti siapa kita di hadapan Ya Robb. Sekaligus menyedarkan kita tentang kedudukan kita yang sementara di muka bumi ini. Dengan permulaan yang penuh sedar ini, kita menapak meneruskan hari dengan RASA Bertuhan. RASA Allah sentiasa ada menemani dan memerhati. Inilah perisai terkuat yang akan membenteng diri kita berdepan dengan semua cabaran. InsyaAllah.

RASA ini tidak datang menyapa setiap masa. Perlu diusahakan untuk memperolehinya melalui ibadah.

'Ohh. Susahlah. Kena tunggu waktu ibadah solat sahaja la baru boleh diusahakan'

Siapa kata begitu?
Bukankah setiap perkara yang diucap, difikir dan dilakukan oleh seorang Muslim itu adalah doa? Dan doa itu sendiri adalah ibadah?

'Erm..tak pastilah sama ada yang selama ini semua ucapan, fikiran dan tindakan yang pernah dibuat itu tergolong dalam kategori doa.. Sebab ada banyak yang tak baik, yang Allah tak suka, huhu...'

Tiada due date untuk hambaNya kembali berpaling semula kepadaNya (melainkan maut). Pintu langit sentiasa terbuka menanti doa-doa taubat hambaNya yang khilaf. Talian terus tanpa hijab. Maka, kita teruskan hari-hari mendatang dengan mencuba menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan yang Allah suka. :)


SOLAT SETIAP HARI


Imej: Carian Google


Lima kali sehari kita memperuntukkan masa untuk berbicara khusus dengan Pencipta kita. Cukup besar hikmah yang dapat kita aplikasikan dari solat ke kehidupan di luar solat.  Terutamanya Muslimah.


CANTIK DENGAN WUDHU

Bermula dengan niat berwudhu, kemudian menyapu dan mengalirkan air yang sifatnya menyucikan ke atas tubuh badan kita. Menghilangkan segala debu dan kotoran yang melekat pada permukaan kulit yang terdedah seperti muka dan tapak tangan. Indahnya Muslimah itu kerana anggota yang terbuka dan terdedah kepada habuk jalanan itu hanyalah muka dan dua tapak tangan. Selainnya tertutup rapi dengan fabrik pakaian yang dipakai. 

Rukun wudhu yang 6 terbahagi kepada dua iaitu 
  • 4 anggota basah (muka, tangan, rambut, kaki) 
  • 2 yang kering (niat dan tertib). 
Mudah sahaja untuk membersihkan diri bukan? Persediaan yang rapi untuk menghadap Ilahi. :)
Walaupun dalam keadaan darurat dengan ketiadaan air, wudhu tetap perlu sebagai syarat sah solat. Debu halus digunakan bagi tujuan ini dengan syarat debu itu bersih dan suci (baca: tayamum). Di sini jelas dan nyata di mana pensyariatan kebersihan diri adalah asas utama bagi seorang Mukmin. Bersih itu cantik, dan Allah suka yang cantik, :)


CANTIK DENGAN PAKAIAN SOLAT


Imej: Carian Google


Pakaian ketika waktu solat adalah sama dengan pensyariatan pakaian seorang Muslimah di luar waktu solat. Sebagaimana terjaganya aurat kita di dalam solat ketika bertemu Pencipta semesta alam, keterjagaan yang sama Allah mahukan buat Muslimah ketika di luar waktu solat. 

Manfaatnya adalah melindungi diri kita Muslimah dari mencuit nafsu kaum Muslimin yang satu. Usah diterjah nafsu itu dengan susuk tubuh yang menggiurkan, menampakkan apa yang seharusnya tersimpan elok dan dipelihara, kelak tiada jaminan yang mampu menjaga diri dari diperbuat yang tidak elok.

Bukankah aturan dan suruhan Pencipta itu yang paling ideal kerana Dia Ya Khaliq?


CANTIK DENGAN PERGERAKAN SOLAT


Imej: Carian Google


Beza solat Muslimah dan Muslimin adalah pada darjah keluasan dan keterbukaan anggota tangan dan kaki. Bagi Muslimah, kedua tangan sentiasa dirapatkan ke arah badan dengan jari-jari tapak tangan juga saling berapatan, tidak terbuka seperti Muslimin. Kaki juga begitu. 

Ternyata tatatertib kesopanan telah dilatih dari dalam waktu solat lagi. Akhlak seorang Muslimah yang terjaga mulia dan sopan, seumpama terkawal pergerakannya dan tidak berkeliaran bebas ke sana ke mari sesuka hati. Sesuai dengan fitrahnya yang dilindungi. Allah hiaskan lagi Muslimah dengan sifat malu sebagai penyeri. Apabila malu bergandingan dengan sopan, ini menjadi bunga akhlak dan perisai kita. Jika malu itu terangkat dari diri kita, maka terangkatlah juga yang lainnya. Cantik bukan Allah jadikan kita? Rapi terjaga, sopan tatasusila, sesuai dengan tagline Loreal: 'Kerana Dirimu Begitu Berharga' :)


CANTIK DENGAN SOLAT



Imej: Carian Google

Terbukti dengan ibadah solat sahaja, cantik dari sudut kebersihan, kesopanan dan perlindungan dapat kita praktikkan. Betapa sayangnya Allah dengan kita makhluk bergelar Muslimah ini, Subhanallah. Sehinggakan dilindungi dan dijaga walaupun di dalam solat. Hikmah bagi yang mahu berfikir dan mencari kasih sayangNya.

Konsistensi solat sebanyak 5 kali sehari jelas membuktikan bahawa Allah mahu kita:
  • Berasa selesa dengan memperbaharui wudhu
  • Berasa Bertuhan dengan menemuiNya dalam solat
  • Berasa perlu bergantung padaNya dengan melaksanakan perintahNya
  • Berasa Allah sentiasa ada walaupun pinjamanNya di dunia ini datang dan pergi
  • Mengaku keesaanNya dan keagunganNya dengan patuh padaNya
  • Yakin dengan sifatnya Ya Hafiz (Yang Pemelihara)


KESAN CANTIK DENGAN SOLAT

Seiring dengan akhlak-akhlak cantik yang dipelajari dalam solat ini, kesan solat itu sendiri terhadap jiwa dalaman adalah yang paling cantik, :)

Sebagaimana kita merendahkan diri bertemu dengan Ya 'Azim, memohon perlindungan, kesejahteraan, kebahagiaan dan ketenangan, masakan Allah mahu menghampakan doa-doa kita? Kecantikan dalaman inilah yang akan diperlihatkan ke luaran kita.

Jom sama-sama praktik!

Kita lihat adakah benar, beauty comes from within!

:)

 

No comments:

Post a Comment

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...