Wednesday, 2 April 2014

Kasih Sayang Menarik Rahmat


Teks: ain akib


Pagi tadi bersiaran di IKIM.fm bual bicara bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dengan tajuk Membina Keyakinan Diri. Saya ulaskan sedikit dari intipati yang sempat saya dengar dan saya cuba kaitkan dengan apa yang saya ketahui.


Keyakinan Kita Terhadap orang Lain

Keyakinan kita terhadap orang lain penting kerana kita hidup dalam masyarakat. 
Kita bukan hidup seorang diri. 

Jika kita ingin hidup seorang diri pun, adalah amat sukar.
Untuk terus hidup sahaja kita perlu kepada alatan harian yang kemudiannya memerlukan kita untuk keluar membeli barang. Menjejakkan sahaja kaki di luar rumah telah menyebabkan kita berurusan dengan manusia. Dari bergerak keluar, sepanjang perjalanan pergi balik dan di dalam kedai. Adalah mustahil untuk kita terlepas dari berurusan dengan manusia kerana itu adalah fitrah kita, saling memerlukan.

Pandangan kita terhadap orang lain ini mampu berubah-ubah.
Jika yang ini tidak kena dengan kita, kita boleh ubah kepada yang lain.
Contohnya jika kita tidak suka melalui jalan A, maka kita boleh melalui jalan lain yang ada seperti B dan C.

Contoh lagi, jika kita tiada keyakinan pada cikgu di kelas tuisyen Bintang, maka kita boleh berubah kepada pusat tuisyen yang lain yang kita yakini.

Kita boleh ubah kepada yang lain.
 

Keyakinan Kita Terhadap Diri Sendiri

Bagaimana pula dengan keyakinan kita pada diri kita sendiri ya?

Jika kita tidak yakin pada diri sendiri, maka bagaimana nak diubah kepada orang lain?
Pokok pangkalnya ada di dalam diri kita sendiri.
Dalaman yang tidak kelihatan itulah yang kita perlu ubah.
Kita harus gerakkan dan hidup suburkan yakin itu.

Bermula dengan menyayangi diri kita sendiri.
Kerana kasih sayang itu membawa rahmat.

 
Imej: Carian Google


Intensif Ehati

Perkara yang sama Mentor saya ajar di dalam kelas ini.
Setiap perkara yang berlaku atas kita, sedari ia, akui kehadirannya, rasainya kerana itu semua adalah 'guru' yang datang khusus untuk mengajar kita.

'Apa yang aku perlu belajar dari perkara ini?'

Soalan yang perlu kita timbulkan dan jawab.
Di situ letaknya buah hikmah dan barakah daripada Ya Rabbul Jalil.

Masakan Allah beri kita situasi itu dengan sia-sia.
Pencipta berbicara dengan kita.

Bicara tanda kasih sayangNya. 
Tanda yang mengundang rahmatNya.


Filem : Hotel Transylvania


Imej: Carian Google


Saya baru sahaja menonton filem Hotel Transylvania.
Kartun animasi seperti Bugs Life dan Mulan.
Menarik kerana genrenya komedi dan santai.

Berkisarkan suasana kehidupan Count Dracula, Frankestein dan yang sewaktu dengannya.
Lucu, mudah difahami dan temanya adalah kasih sayang.
Bagaimana Count Dracula ini seorang yang perfectionist akhirnya tetap kalah dengan kasih sayang anaknya.

The Power of Love.


Rancangan My Extreme Animal Phobia


Imej: Carian Google


Rancangan realiti di saluran Animal Planet ini memaparkan kisah individu-individu yang mempunyai fobia ekstrem terhadap haiwan. Yang sempat saya tonton ialah fobia terhadap lebah dan ulat gonggok.


Pertama, individu itu akan didedahkan sedikit demi sedikit dengan haiwan itu walaupun amat perit bagi mereka. Ada yang sejarah mereka bersama haiwan itu telah pun menjangkau puluhan tahun, maka fobia itu adalah sangat tinggi. Perlahan-lahan mereka dipandu agar rasa ketakutan itu dikikis sedikit demi sedikit.

Berserta itu sesi meluahkan apa yang dirasai oleh mereka turut diadakan bagi mereka mengenalpasti dan memperbaharui tahap fobia mereka.

Mereka akan 'terpaksa' berhadapan dengan haiwan itu pada akhirnya hingga menyentuh haiwan itu. Ada yang dalam keadaan menggigil-gigil dan ada yang menangis bersungguh-sungguh pada waktu itu. Ahli psikoterapi yang membimbing akan selalu memberi kata-kata perangsang dan memandu mereka untuk mengatasi dan melawan rasa takut itu.

Seringkali mereka ini dimotivasikan oleh keluarga dan demi orang yang tersayang. Kerana itu, mereka teruskan hingga fobia mereka dapat diatasi, :)

Keyakinan diri amat dipengaruhi oleh orang-orang yang dekat dengan kita.
Salurannya adalah kasih sayang.
Sayang yang menarik rahmatNya.


Kuasa Kasih Sayang


Imej: Carian Google


Apabila dihitung-hitung..
Tak terhitung jadinya.
 
Aku bersyukur atas nafas yang masih dipinjamkanMu. Terima kasih Ya Allah.
Sedangkan masih ramai yang saudara-mara seagama yang duduk dalam debu dan dalam peperangan Ya Allah..
 
Aku bersyukur atas tubuh yang masih boleh bergerak, masih boleh memandu. Terima kasih Ya Allah.
Sedangkan ada yang telah Engkau tarik nikmat kaki mereka Ya Allah..

Aku bersyukur atas deria yang masih dipinjamkanMu untuk menghidu, melihat, dan mendengar. Terima kasih Ya Allah.
Sedangkan ada yang telah Engkau tarik nikmat hidu mereka sehingga mereka tidak terbau gas yang bocor di dalam rumah dan mereka terkorban Ya Allah..

Aku bersyukur atas organ yang masih dipinjamkanMu berfungsi dengan baik. Terima kasih Ya Allah.
Sedangkan ramai yang sedang menunggu penderma organ dan mereka terpaksa bergantung kepada ubat dan tak dapat bergerak aktif Ya Allah..

Aku bersyukur atas nikmat sihat dan akal yang sejahtera kurniaanMu. Terima kasih Ya Allah.
Sedangkan aku tahu semakin meningkat usiaku, suatu hari nanti aku akan merasa apa yang dirasai ibu bapaku sekarang. Sabarkan aku Ya Allah..

Apabila diperhati dan diteliti setiap satu kurniaanMu kepada seorang hambaMu ini, aku tidak terhitung banyaknya. Semua ini adalah dengan izin dan rahmatMu.

Allah tetap terus menerus memberi dengan penuh kasih sayang setiap masa walaupun kita ini hamba yang turun naik iman dan amalannya.
Kasih sayang inilah yang akan menarik rahmatNya.

Ya Ghaffur, ampunkan aku..
Jadikanlah aku hamba yang sabar dan bersyukur..
   

No comments:

Post a Comment

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...