Teks: ain akib
DETIK-DETIK BERTELEFON BIMBIT
Saya berjinak-jinak dengan alam bertelefon bimbit bermula dari alam universiti. Ok, nampak macam agak lewat kan? Hehe. Itupun setelah timbul keperluan dari sudut komunikasi apabila bergerakerja di dalam kampus. Waktu itu, saya antara yang agak terkebelakang dalam bidang teknologi gajet ini, :p.
Telefon bimbit saya yang pertama ialah Nokia 2100 yang Mak saya dengan baik hatinya belikan untuk kegunaan anakandanya ini. Terima kasih Mak, :). Waktu ini game ular teramatlah glamour, :p.
Ketika ini kaedah prabayar atau prepaid digunakan dengan jayanya. Pada waktu ini hanya nilai tambah kredit sebanyak RM10, RM30 dan ke atas sahaja yang ada. Belum ada nilai tambah kredit RM5 seperti sekarang.
Imej: Carian Google |
Imej: Carian Google |
Shila, ingat lagi tak memori kita dengan telefon ini? :)
PRABAYAR DAN PASCABAYAR
Prabayar = prepaid
Pascabayar = postpaid
Nilai tambah kredit dalam telefon bimbit adalah berdasarkan penggunaan kita. Semakin banyak kita guna, semakin banyak pengeluaran wang yang dikeluarkan. Lazimnya di zaman belajar, kita menggunakan kaedah prabayar, sesuai dengan latarbelakang kita yang belum bekerja, hanya bergantung pada elaun belajar ataupun biasiswa. Penggunaan Sistem Khidmat Ringkas ( SMS - Short Message System) amat tinggi di kala ini dengan rakan-rakan mahupun ahli keluarga.
Apabila memasuki alam pekerjaan, peluang lebih terbuka luas sama ada kita mahu menggunakan antara kaedah prabayar atau pascabayar. Kadang-kadang kerana telah mempunyai pendapatan tetap sendiri, maka ada yang memilih untuk bertukar dari prabayar ke pascabayar.
Ada banyak sebab yang menyebabkan orang ramai bertukar dari prabayar ke pascabayar, antaranya ialah:
- Berpendapatan tetap menyebabkan mampu untuk melaburkan sejumlah wang tetap ke arah ini secara bulanan
- Tidak mahu menambah nilai kredit berulang kali
- Mudah menguruskan kewangan tanpa perlu memikirkan gangguan penggunaan telefon bimbit (kredit habis)
- Terdapat pelan yang menguntungkan dari syarikat rangkaian telekomunikasi
Terdapat banyak lagi sebab yang menyumbang kerana situasi setiap orang adalah berbeza. Situasi dari sudut kekerapan penggunaan, faktor persekitaran seperti capaian talian (line coverage), kewangan, keperluan, dan sebagainya.
Imej: Carian Google |
PRABAYAR KE PASCABAYAR
Saya kongsikan pengalaman saya dahulu ketika saya, setelah bertahun-tahun menjadi pengguna sistem prabayar beralih arah ke sistem pascabayar.
Bermula dari keperluan.
Sebelum itu saya hanya banyak menggunakan SMS untuk berhubung dengan orang sekeliling, maka sistem prabayar sudah memadai.
Ketika itu saya baru sahaja memasuki alam pekerjaan. Keterlibatan dalam menguruskan sebuah program bertaraf antarabangsa yang gerakerjanya bermula setahun sebelum ianya berlangsung, mengubah kekerapan penggunaan telefon bimbit saya. Saya kerap perlu menghubungi pelbagai jenis orang dan kadangkala situasi adhoc juga timbul. Kekerapan membuat panggilan meningkat juga dari sudut nilai kredit yang perlu sentiasa diperbaharui (waktu itu tak biasa untuk tambah nilai kredit dalam nilai yang banyak). Dari situ, saya mula berfikir untuk menggunakan sistem pascabayar yang mana ia mampu menguruskan masalah (baca: cabaran) yang saya hadapi.
Terus tukar?
Tidak.
Itu baru terfikir dan rasa ingin bertukar.
Apabila melibatkan duit, sudah pasti kita akan menimbang tara dengan sebaiknya bukan?
Pasti kita tidak mahu menanggung sebarang kerugian daripada tindakan yang diambil.
Maka, saya jalankan dahulu sedikit analisis sebelum mengambil apa-apa tindakan.
LANGKAH YANG DIAMBIL
- Setiap bulan, saya rekod penggunaan kredit prabayar saya. Nilai wang yang dibelanjakan untuk kredit, kadar kekerapan SMS dan panggilan yang dibuat. Direkod selama 6 bulan. Bagi saya memadai untuk saya lihat trend penggunaan saya.
- Perbandingan dibuat dari keenam-enam bulan tersebut. Saya dapati nilai kredit meningkat dari segi penggunaan panggilan yang dibuat dan saya dapat mengetahui purata nilai yang saya perlu guna setiap bulan. Ok, saya berpuas hati dengan bukti ini kerana dari sini saya tahu nilai minimum dan maksimum yang saya perlukan.
- Seterusnya, saya teliti rangkaian-rangkaian telekomunikasi yang ada berserta pelan-pelan pascabayar yang ditawarkan. Maxis, Celcom, Digi, dan lain-lain. Cari, teliti dan bandingkan.
- Nilai kesamaan yang saya cari adalah dari sudut untung apabila membuat lebih banyak panggilan daripada SMS kerana kekerapan panggilan yang saya buat adalah melebihi penggunaan SMS.
- Antara perkara yang perlu diteliti pada pakej yang dikemukakan ialah:
- Caj panggilan setiap minit
- Caj setiap SMS kepada rangkaian telekomunikasi yang sama/berbeza
- Terma dan syarat (kontrak atau tidak, berapa lama kontrak, caj pendahuluan dsb)
- Rebat
- Wujud kadar istimewa atau waktu panggilan yang tertentu/terhad
- Penggunaan nombor yang sama atau tidak
- Wujud caj yang lain atau tidak
- Had limit caj minimum/maksimum
Setelah mengenalpasti pakej yang paling sesuai dengan keperluan penggunaan dan jumlah kewangan yang mampu dilaburkan, barulah saya bertukar ke sistem pascabayar.
Alhamdulillah.
Dengan hasilnya itu, saya amat berpuas hati dan saya rasa amat berbaloi. Tidak sia-sia apa yang saya usahakan kerana saya membuat pilihan dengan mata yang terbuka.
Pilihan sentiasa ada, cuma terpulang pada kita untuk memilih.
Itu termasuklah memilih jalan yang mana untuk membuat pilihan.
Jalan untuk terus bertukar kepada sistem pascabayar tanpa berfikir panjang ataupun meneliti serba sedikit sebelum bertukar. Masing-masing pilihan itu ada kesannya yang tersendiri.
:)
HIKMAH
Nampak macam susah?
Rekod, analisis, cari maklumat, membuat perbandingan dan akhirnya membuat keputusan.
Saya pun tidak pasti, mungkin sudah terbiasa berada di aliran sains yang melazimkan diri dengan laporan dan semua kaedah-kaedah di atas, hehe. Ada baiknya juga, saya aplikasikan di sini, alhamdulillah, :). Itulah hikmahnya sifat teliti yang diperolehi ketika belajar walaupun karakter saya bukanlah yang sebegitu sebelum ini.
Apapun, prabayar atau pascabayar, tetap berbalik pada tahap penggunaan kita masing-masing. Ada yang situasinya sesuai dengan prabayar apabila line coverage agak kurang memuaskan di kawasan itu, maka, tidak banyak kredit yang digunakan. Mungkin ada yang sesuai dengan prabayar apabila penggunaannya memadai dengan pakej prabayar yang dipilih. Mungkin ada juga yang sesuai dengan pakej pascabayar yang setiap bulan memberikan rebat apabila penggunaannya tinggi dan banyak lagi. Terpulang pada penggunaan dan situasi kita.
Pengalaman saya yang saya kongsikan ini adalah usaha yang telah saya laksanakan beserta hasilnya. Pengalaman yang melibatkan pemilihan berdasarkan akal yang rasional yang Allah pinjamkan ketika itu. Ditambah dengan kerajinan membuat sedikit kajian, :p. Itu sahaja. Ambillah jika ilmu ini berguna buat anda yang membaca.
Moga ada hikmahnya dan Allah redha.
:)
No comments:
Post a Comment