Wednesday 2 July 2014

Kelas Ramadhan


Teks: ain akib


AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Alhamdulillah.
Ramadhan Al-Mubarak tiba lagi.
Seringkali saya dengar apabila kita memasuki bulan yang penuh barakah ini, kita diibaratkan memasuki sebuah madrasah. Sehinggakan seorang sahabat saya menelefon saya dan dengan penuh keterujaan mengucapkan tahniah kerana saya telah berjaya mendaftar dan memulai kelas. 

"Kelas?? Kelas apa?" tanya saya.  
Blur yang teramat.

"Kelas Ramadhan. Kan kita dah masuk madrasah Ramadhan..." kata sahabat saya sambil tertawa.

"Ooooooooo.....hahaha.. sabar je lah!" jawab saya sambil menggeleng-gelengkan kepala, menghabiskan sisa ketawa.

Terkena sebiji.
:p


MADRASAH RAMADHAN


Imej: Carian Google


Walaupun saya kira agak lucu cara peringatan yang diberikan oleh sahabat saya itu, namun, saya berasa terpanggil apabila frasa madrasah itu digunakan. 
Bulan ini bulan madrasah. 
Bulan ini bulan untuk belajar. 

Secara amnya seperti yang diajar sedari kecil, bulan ini khusus untuk Muslimin dan Muslimat berpuasa, mengekang nafsu makan, minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
Itu adalah zahirnya. 
Namun, semakin meningkat dewasa (baca: matang), hikmah Allah SWT jadikan bulan ini adalah jauh lebih besar!

Perkataan belajar itu sinonim dengan perkataan memperbaiki dan perkataan menambah.
Memperbaiki diri untuk menjadi Muslim yang lebih baik dari semalam.
Menambah skill atau added value pada diri mahupun pada orang lain.
Saya percaya bulan ini adalah medan latihan untuk meneroka sesuatu yang mungkin tidak biasa kita lakukan sebelum ini.

Tidak perlu melihat jauh, saya melihat pada diri saya sendiri.
Tadabbur Al-Quran hanya menjadi pilihan terakhir jika ada masa yang terluang. 
Bukan diperuntukkan masa untuknya, walhal itulah buku atau kitab yang sangat perlu ditelaah.
Masakan saja-saja dikatakan Al-Quran itu penyuluh jalan?
Huhu...


RAMADHAN DI RUMAH

Sebelum ini, puas duduk jauh dari keluarga, menjadikan saya amat menghargai detik untuk berbuka bersama keluarga saya. Bersama-sama menyediakan juadah berbuka mengikut selera yang pelbagai. Meriah!

Sewaktu arwah opah ada, pasti akan ada menu manisan untuk berbuka. Bubur badak berendam, gula melaka, kuih lopes dan lengat pisang antara sajian yang menjadi kegemaran semua orang.

1 Ramadhan kali ini berpeluang berbuka di rumah bersama adik-beradik dan Mak, cuma keluarga kakak sulung dan adik bongsu yang sedang menjalani peperiksaan yang tiada. 
Abah juga tiada kerana berada di kampung.  
Home-made-pizza menjadi menu utama. 
Konsep meraikan kegemaran dan keberadaan semua orang di rumah. 
Alhamdulillah, setelah berhempas pulas ada air tangan semua orang dan puas hati menikmatinya, hehe.

Kebiasaannya, Abah akan menjadi imam solat Isya dan solat sunat Terawih, jadi, kami terasa ketiadaannya kali ini. 
Mujur ada Imam muda yang ada di rumah ini yang sudi menggalas tempatnya. 
Seronok sebab sudah lama tidak solat berjemaah bersama beramai-ramai.

Terima kasih Ya Allah...
:)


HIKMAH RAMADHAN?

Merenung kembali jauh pada diri sendiri..
Meneliti sifat yang ada terpasak dalam diri..
Menilai sendiri jarak diri dengan Ilahi...
Allah...
Banyak yang perlu diperbaiki untuk menggelarkan diri ini seorang hamba.
Banyak asas yang perlu dilatih dan diamalkan sebelum perlahan-lahan menjadi muslimah yang solehah.
Bak kata orang, 

Khalifah in the making, biiznillah.
:)


Ya Allah, kurniakan aku kekuatan untuk menjalani bulan madrasah ini dengan terbaik..
Ya Razzaq, rezekikan aku dengan kelembutan hati untuk mentarbiyah diri ke tahap yang lebih baik dari hari ini..
Ya Mujeeb, palingkan hati dan jiwa ini agar senang mentaatiMu dan melaksanakan suruhanMu..
Ya Kabir, bawalah aku bersama-sama muslimin muslimat di sekitarku ke jalan yang Engkau redhai dan rahmati..
Ameen ya robbal 'alamin..


Imej: Sumber Mukabuku


Sebuah bulan untuk kita memburu sesuatu dan memperolehi sesuatu pastinya.




Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...