Friday 23 August 2013

Yang Sebenarnya, Dragon Ball ada Tujuh Biji Kesemuanya!


Teks: ain akib


Imej: Carian Google


PENGARUH KARTUN

Imbau kembali zaman kanak-kanak (Geng lahir zaman 80-an).

"Dengan kuasa bulan, bertukarlah!" - Sailormoon

Batman: Masuk bilik persalinan, tukar uniform, bawa sekali kereta kelawarnya. Ada pembantunya juga, Robin dan butlernya yang setia.

Superman: Pergi tempat tersorok, buka baju, terus dah siap dengan uniform Superman. Angkat tangan sebelah, genggam tangan lagi sebelah, terus naik terbang. Yang ini tiada kenderaan, guna kuasa dalaman sahaja. Lemah bila berdekatan dengan kripton.

Spiderman: Prosedur yang sama seperti Superman, cuma gaya bergeraknya berbeza. Keluarkan web lelabah dari pangkal tapak tangan, berpaut dan bergayutanlah untuk pergi menyelamatkan orang.

Semuanya bertujuan baik. Demi membantu orang yang berada dalam kesusahan. Apabila diperlukan terus mereka muncul dan beraksi.

Jika semuanya mudah begitu, alangkah indah dan mudah hidup ini. 
What you wish for come to you in just a blink of your eye. Poof!!
Ok, kedengaran seperti fairytale.

Lagi satu. Biasa dengar frasa ini?
"Yang sebenarnya, Dragon Ball ada tujuh biji semuanya!" - Dragon Ball

:p


BOLA-BOLA NAGA

Dikatakan payah untuk mengumpulkan kembali ketujuh-tujuh bola naga dalam cerita Dragon Ball. Perlu berjuang mengalahkan musuh, menggunakan kuasa ajaib, merentasi bukit bukau, bersilih ganti dan sebagainya. Sifat mulia yang wajar kita contohi adalah sikap mereka bergerak secara berjemaah, bukan bersendirian. Bukankah telah Allah ciptakan manusia ini untuk hidup bersama-sama, saling mengenali dan bantu-membantu? Juga contoh yang boleh diteladani adalah sikap tidak mudah berputus asa. Walau berbagai halangan datang, tetap ditempuh dengan yakin. 

Berbahagialah kita bilamana kita dapat menggali buah hikmah hatta dari cerita kartun yang biasa-biasa.
  

BOLA-BOLA SABAR

Walaupun dikatakan sukar menjejak ketujuh-tujuh bola naga itu, adalah lebih sukar untuk mendapatkan bola-bola sabar dalam cerita kehidupan kita. Bukan fizikal kita yang diuji tetapi dalaman kita yang akan menentukan natijahnya.

Relax..Jangan marah-marah.. Cool down. Cuba bawa-bawa duduk sekejap.

Senangnya cakap. Cuba diri sendiri yang kena. Baru tahu langit itu tinggi ke rendah.

Ehh?? Kena balik? Ok. Tarik nafas... Lepas.. Tarik.. Lepas.. Fuuhh..


Imej: Carian Google


Perkongsian dari seorang sahabat saya yang didengarinya dari Kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Sabar dan syukur ini perlu serentak. Bila bercakap soal syukur, selalu orang lupa untuk bersabar. Tengok kehidupan yang kita nikmati. Ada hari  Allah menguji kita lebih, tanda kasihNya kepada kita. Ada hari kita berasa sedih dan kita bersabar. Kita terus bersabar, tanpa kita fikir sepatutnya juga kita bersyukur. Kerana dengan sedikit ujian yang Allah beri itu, kita kembali mengingatiNya. Sedangkan sebelum ini kita leka dan lupa. 

Contohnya, kereta kita terlibat dalam kemalangan. Kereta menjadi remuk. Allah.. Walaupun kita sudah berhati-hati, Allah hendak menguji kita. Kita bersedih atas musibah yang menimpa dan kita cuba untuk bersabar. Tetapi kita lupa juga untuk bersyukur. Kita amat perlu bersyukur kerana kita masih elok dan sihat, masih hidup.

Kedua ini saling memerlukan. SABAR DAN SYUKUR.


Contoh lagi, apabila kita mendapat bonus, kita terus berbelanja tanpa kita fikir untuk simpanan atau kegunaan sewaktu kecemasan. Sabar juga diuji ketika itu, sabar dalam berbelanja dan sabar dalam mendapat nikmat .

Nabi Muhammad SAW bersabda:
'Pada setiap (makhluk yang hidup) yang lembut hatinya ada pahala (bagi orang yang melakukan kebaikan)'
Riwayat Muslim


Bagi mendapatkan kedua akhlak mulia ini, dedahkanlah diri kita dengan kebaikan. Kebaikan yang diberi turut akan menarik kebaikan kembali, biiznillah. Jika keburukan yang menimpa, terimalah sebagai ujian dari Pencipta demi menguji hambaNya. Ujian bagi menaikkan taraf iman hambaNya. Seperti kata hadis Nabi di atas, hati yang lembut ada pahala baginya.

Sahabat saya yang lain turut berkongsikan zikir yang dilaziminya setiap hari agar Allah melembutkan hati ini.. Ya Latif, Ya Latif (Maha Lembut).. Ratiblah nama TuhanMu lebih dari meratib nama kekasihmu. :)


Imej: Carian Google


Ustaz Don Daniyal: Hati yang keras adalah hati yang jauh dari Allah.
Masakan kita yang mahukan syurgaNya ini, mahu jauh dari Pencipta syurga?


3 PERIHAL S.A.B.A.R.

1. SABAR dalam mentaati Allah
2. SABAR dalam meninggalkan larangan Allah
3. SABAR dalam menghadapi ujian Allah

Terima kasih Siti Nur Aishah yang disayangi Allah.Terima kasih juga buat sahabat-sahabat saya yang melalui mereka ilmu ini dapat saya kongsikan bersama di sini. Terima kasih.


 Nota kaki:

Teringat kisah saya berbual dengan Aiman 'Atif, anak sahabat saya, Radieah.

"Kenapa Ultraman jahat?" tanya Aunty Ain Akib.
"Sebab Ultraman tak sembahyang" jawab Aiman.
"Jadi, tak boleh kawan dengan Ultraman lah?" sambung Aunty Ain. 
"Tak boleh..Ultraman tak sembahyang.." jawab Aiman..  

:)

Wednesday 14 August 2013

Raikan Hari Kemenangan


Teks: ain akib


Imej: Carian Google

 
1434 HIJRAH. 2013 MASIHI.

Ramadhan bulan yang penuh barakah telah ditempuhi dengan kesedaran bahawa Ya Latif (Maha Lembut) memberi kita ruang dan peluang memperbaiki diri. 

Melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi, sekaligus melunaskan hak kita sebagai hambaNya yang kerdil lagi hina dan senantiasa mengharapkan rahmat dan ampunanNya. 

Moga semua perilaku dan tutur kata kita bernilai ibadah dan berganjaran di sisiNya, ameen.

Walaupun meratap sedih perginya bulan mulia, masih Allah kurniakan bulan yang tidak kurang hebatnya bagi melakari ukhuwah sesama insan. Diakhiri Ramadhan dengan hadiah kegembiraan buat yang menjiwai, Kembali kepada Fitrah (aidilfitri).

Ziarah-menziarahi bertambah barakahnya apabila diselitkan bersama rasa kasih dan sayang. Rasa kasih kepada saudara semuslim mahupun rasa sayang kepada saudara berlainan agama (moga Allah Ya Hadi (Maha Pemberi Petunjuk) memberi hidayah). 

Masakan semua urusan bersama keluarga dan sanak saudara berjalan lancar tanpa ada ujian. Tapi semua itu dapat diatasi atas dasar kasih sayang yang menguasai itu, insyaAllah. 

Tradisi bermaaf-maafan diteruskan bagi meleraikan kekusutan yang terbentuk, terasa hati yang tidak sengaja dan menjernihkan kekeruhan jika ada, :).


TAKBIR

Takbir raya pada waktu malam raya bersama-sama dengan ahli keluarga adalah waktu yang seronok bagi saya. Walaupun hakikatnya perlu dihayati dan difahami maksud laungan takbir itu, namun kami peroleh sesuatu yang lain ketika bertakbir; keseronokan berkumpul dan kebersamaan dalam berjemaah.

Keseronokan apa yang cuba diceritakan ini ya?

Abah akan memulakan takbir dan diikuti oleh kami yang lain. Kami yang terdiri daripada adik-beradik perempuan semuanya (kali ini kakak sulung saya tiada bersama), akan turut bergilir melaungkan takbir, termasuklah abang ipar. 

Bahagian yang sedikit sukar adalah di bahagian bacaan sunat selepas 3 kali takbir. Gelagat sewaktu tamat sahaja setiap seorang bertakbir, yang lain-lainnya akan memberi signal thumbs up/linear/down berdasarkan prestasi laungan takbir raya, :p. 

Ada yang sedikit lancar, yang tersasul walaupun sudah bersedia dengan carian google di tangan, gementar, lupa bacaan, lagunya lari..hehe..masing-masing tersengih bila ada kesilapan yang dilakukan (inilah cara kami bergurau, tiada isu kecil hati). 

Ada juga sampai tahap ditegur oleh Tok Imam kerana tidak serius. Apabila masuk round kedua, bertambah meriah suasana dengan masing-masing memberi galakan tak kurang juga yang sengaja mengganggu, :p. 

Tapi itulah cara kami belajar bertakbir secara berjemaah. Cuma perlu diperbaiki dari sudut penghayatan, insyaAllah.


Imej: Carian Google


Alhamdulillah, pagi raya kali ini semua dapat berkumpul bersama meraikan hari kemenangan. Terima kasih ya Allah atas pinjaman nikmat ini. Walaupun Mak kurang sihat, demam, masih Allah berikan peluang untuk mengabdikan gambar kami sekeluarga, segala puji hanya padaNya.




BAGAIMANA YANG DIKATAKAN MENANG?

Moga...
Berlalunya Ramadhan dengan penuh keinsafan, bukan penyesalan.
Tamatnya Ramadhan dengan niat berterusan amalan, bukan penghentian.
Hadirnya Syawal mengeratkan silaturrahim, bukan meleraikan.
Mulanya Syawal ditekadkan hati, mengubah yang kurang baik kepada baik dan yang baik kepada yang lebih baik, insyaAllah. 
 
Moga hari kemenangan ini diukur dari kemenangan kita mentarbiyah diri dan hati, lebih dekat dan lunak kepadaNya, ameen.

Tidak dilupakan juga, sahabat-sahabat saya dari Team Madeenah, :)




Friday 2 August 2013

Cantik dengan Puasa


Teks: ain akib

Imej: Carian Google


PUASA DAN PERISAI

Barangsiapa yang berpuasa dan di penghujung puasanya hanya diperoleh lapar dan dahaga, maka dia adalah orang yang sangat rugi. Barangsiapa yang berpuasa dan di penghujung puasanya diperoleh bermacam-macam nilai tambah, maka dia adalah orang yang amat beruntung. 

Apa nilai tambah yang dimaksudkan? Itulah DISIPLIN DIRI yang di dalamnya terkandung hadiah daripada Allah. Apakah hadiahnya itu? Berupa PERISAI KESABARAN yang tidak ternilai. Manakan tidak, diajar baginda Rasulullah SAW sekiranya datang kepadamu suatu perkara yang membangkitkan kemarahanmu, hendaklah kamu mengatakan "Sesungguhnya aku sedang berpuasa".

"Puasa itu benteng, maka janganlah berkata keji dan jangan berbodoh diri. Jika seseorang menentang atau memakinya maka hendaklah ia berkata : "Sesungguhnya saya sedang berpuasa" 
(Hadith Riwayat Bukhari) 

Dengan kesedaran yang kita sedang berpuasa, itulah yang membenteng diri kita dari melakukan perkara yang tidak sewajarnya dilakukan oleh orang yang berpuasa. Cuma kerana AKU SEDANG BERPUASA. Ibarat pakaian yang dipakai si pemakai.


ADA APA DENGAN BALUT, LINDUNG DAN MALU?

Tujuan kita memakai baju dan seluar adalah untuk melindungi kulit dari sinaran matahari dan habuk yang menghinggap. Juga kerana MALU. Sesuai dengan fungsinya MELINDUNGI. Dipakai pula yang berwarna agar kelihatan menarik. Sesuai dengan fungsi warna yang menarik dan ceria. Ditambah lagi dengan saiz yang berpadanan, sedang elok di tubuh si pemakai. Cantik!

Tapi, 
Untuk kaum Hawa yang disayangi Allah dan dicintai Rasul, 

Ada lagi keindahan syarat yang diberi oleh Pencipta kita bagi memenuhi tuntutan MELINDUNGI ini. Bukan sekadar sesuai dengan tahap kesesuaian yang kita letakkan tapi sebenarnya PERLU sesuai mengikut piawaian yang diletakkan oleh Pencipta. Tidak akan lari dari fungsi melindungi semestinya. Bagaimana  yang dikatakan piawaian yang melindungi itu?

Jika memakai pakaian yang muat-muat badan, akan kelihatan jelas tekstur tubuh dan segala lekuk yang ada. Membalut tubuh. Apabila terlihat begitu, adakah mampu melindungi diri dari mata-mata nakal yang berkeliaran?
Jika memakai pakaian yang nipis, transparent, mampu ditembusi mata seperti Clark Kent dalam cerita Superman, adalah seperti bersembunyi di sebalik terik yang terang. Apabila terlihat begini, adakah mampu melindungi diri dari menerima kesan rasa ingin tahu insan yang berlawanan jantina?

Islam itu mudah dan membela semua ahlinya. Piawaian tinggi ini adalah yang paling standard, sesuai dengan nilai kaum Hawa itu sendiri. Masakan mahu diri yang TIDAK TERNILAI ini hanya dijaga dengan penjagaan yang biasa-biasa? 

Apabila tuntutan utama berpakaian itu tidak dipenuhi, maka fungsinya yang melindungi itu juga akan tidak berupaya mencapai ke tahap maksima. Sifat MALU yang Allah anugerahkan itulah yang menjadi indikator dalam memenuhi tuntutan yang satu ini. Bila terangkat sifat ini dari diri, maka terangkat jugalah perisai yang menjaga.

Muslimah yang disayangi Allah dan dicintai Rasul, 

SayangNya Allah pada kita adalah melalui syariat yang Dia tetapkan buat kita. Diberikan gelaran hiasan dunia adalah untuk menjadi hiasan yang cantik juga diredhaiNya. Selaras dengan fitrah muslimah itu sendiri yang suka kepada kecantikan, keindahan dan keseronokan. 

Telah Dia bentangkan dan tawarkan jalan yang Dia suka untuk kita lalui, penuh dengan keterjagaan dan perlindungan. Mahukah lagi kita memilih jalan yang lain yang jauh dari titisan rahmat kasih sayangNya? 
 
Yang longgar bukan bererti tiada saiz (:p),
Yang menutup kulit bukan bererti panas,
Yang labuh bukan bererti rimas.

Sebagaimana frasa AKU SEDANG BERPUASA mendidik diri dengan menjaga dan menahan diri dari kemungkaran, begitulah juga PAKAIAN mendidik diri dengan melindungi HARGA DIRI muslimah. Yang tertutup itu lebih indah dari terbungkus padat ataupun terbuka dedah. 


KITA MAMPU MENJADI CANTIK!

Pakaian yang mengikuti syariat MAMPU:

  • MENDIDIK. "Apakah pakaian yang aku pakai ini Allah suka?". Bila Allah suka, automatik kita akan rasa gembira dan ceria.  Akhlak juga akan mula mengikut gaya si pemakai.
  • MENDISIPLINKAN DIRI. "Apakah perlu aku pakai kain di bahagian dalam baju ini? Macam jarang sahaja..". Bila kita cuba mendahulukan suruhan Allah, Allah akan balas dengan balasan yang tiada siapa mampu tandingi. 
  • MEMBINA SABAR. "Apakah pakaian ini setanding dengan orang lain yang berada di majlis itu nanti?". Penuhi tuntutan yang Allah tetapkan kerana ganjarannya lebih besar dari dunia dan seiisinya. 
  • MENGEKALKAN SIFAT MALU. Malu untuk mendabik dada, malu untuk berlebih-lebihan dari segi warna, corak dan gaya, malu untuk memiliki rasa riak seolah merak yang memperagakan tubuh untuk dihayati kecantikannya.

Tiada salah untuk berhias, bergaya dan tampil anggun!

Islam menganjurkan berhias, bergaya dan tampil anggun dalam kerangka SOPAN dan TERJAGA AURAT selaras dengan fungsi MELINDUNGINYA.
Cantik rupa paras dan tip top akhlak! 

Mari kita sama-sama membina peribadi Muslim yang mampu meraih kita mendekati jalan menuju syurgaNya. Gelaran wanita solehah acapkali disebut dan dikejari namun usaha ke arahnya perlu sama-sama kita bina. Ia bukan kerja perseorangan tetapi adalah kerja secara berjemaah! 

Masih belum terlambat untuk kembali ke jalan fitrah ini kerana Allah sentiasa menanti. Entri ini adalah peringatan (tazkirah) khusus buat diri saya dan hadiah buat jiwa-jiwa yang lembut, Muslimin juga Muslimah.

Islam is the way of life.
Menjaga bukan mengongkong.
Membela bukan menghina.

JOM CANTIK DENGAN PUASA! :)


P/s: Boleh layari beberapa page yang disukai oleh teman-teman rapat saya, :)


Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...