Friday 27 December 2013

Untung Iklan Melalui Video


Teks: ain akib

Bismillah.


UNTUNG DALAM JUAL BELI

Apa jua yang kita lakukan, pasti kita mahu untung bukan? Manakan mahu rugi. Bila membeli, pasti kita akan membuat perbandingan dari segi kualiti, kuantiti dan harga. Berpatutan dan bersesuaian, barulah kita akan memilih. Yang pasti, fitrah kita tidak mahu rugi.


UNTUNG DALAM IKLAN


Imej: Carian Google

Promosi dan pengenalan bisnes umpama mengenengahkan diri ke tengah ramai, seperti  artis. Bezanya kita mahukan produk dan servis kita yang dikenali. Kemahiran dan keunikan kita diketahui ramai dan sekaligus menyumbang dalam penambahbaikan hidup orang ramai.

Iklan yang berkesan adalah iklan yang berupaya menarik perhatian pengguna/sasaran. Seperti dalam rancangan Mimbar Pencetus Ummah (Astro Oasis), penyampaian yang baik adalah yang  dapat menarik perhatian audiensnya. Kerana respon mereka inilah yang berperanan dan berkuasa dalam menambah nilai hidup kita.


UNTUNG IKLAN MELALUI VIDEO


Imej: Carian Google

  • Marketing kos rendah
  • Masa yang dilaburkan pendek dan singkat
  • Kos yang dikeluarkan adalah hanya sekali dan tidak perlu berkala, bergantung pada produk/servis yang ingin diiklankan
  • Mudah dan simple
  • Mencakupi penonton yang pelbagai latarbelakang (visual, auditori, kinestatik, digital)

Laburkan wang sedikit untuk hasil pulangan yang banyak!
Iklan melalui video.
Mampu mencecah ribuan sasaran hanya dalam sehari!

Siapa yang berusaha dia akan dapat hasilnya.
InsyaAllah.
:)



Tuesday 24 December 2013

Menyantuni Rezeki Makanan


Teks: ain akib

MAKANAN


Imej: Carian Google

Seringkali makanan itu dikatakan adalah rezeki. Benar. Nikmat yang dikurniakan pada kita adalah rezeki. Tafsiran yang lebih tepat mengenai rezeki adalah apa jua perkara yang datang pada kita yang bermanfaat. Itulah rezeki.

Alhamdulillah, negara kita dikategorikan sebagai negara yang mewah dengan makanan. Ke mana sahaja mata ini mendarat, pasti akan berjumpa dengan kedai makanan mahupun gerai. Alhamdulillah, rezeki makanan melimpah ruah di Malaysia.


SANTUNI MAKANAN

Kita bekerja untuk mendapatkan wang. Wang digunakan untuk membeli makanan untuk mendapat tenaga. Pernah atau tidak kita fikir tentang makanan yang kita perolehi dan bagaimana adab kita terhadap makanan itu?

'Makanan di hadapan mata. Makan sahajalah. Mahu fikir apa lagi?'

Menyantuni makanan juga mampu menarik lagi rezeki lain selepas itu.
Percaya atau tidak?

Imej: Carian Google

Saya ambil satu contoh mudah.

Ketika berpeluang makan secara buffet, di kenduri-kendara, hotel dan sebagainya. 
Kita mempunyai pilihan untuk mengambil apa jua jenis makanan untuk diletakkan ke dalam pinggan kita. 
Pilihan atas diri kita. 
Pilihlah.

Pilihlah berdasarkan apa yang diajar oleh Nabi kita, hikmah kebaikannya amat banyak dan berpahala.

  • Ambil makanan yang sedang cukup untuk diri kita 

Mudah bukan?
Tetapi ramai yang kalah pada nafsu.

'Eh, tak pernah rasa yang ni. Ambillah,'
'Laparnya. Aku nak makan kenyang-kenyang,'

Kesannya, menimbun makanan dalam pinggan. Jika dapat dihabiskan dengan jayanya, alangkah indahnya, alhamdulillah. Berpahala. Sisa makanan di jam 11 pinggan dengan sudu garfu terbuka rapat di jam 6 pinggan (etika makan) atau jari dijilat untuk mengaktifkan enzim penghadaman yang terdapat di jari (sunnah Nabi).  Alhamdulillah.

Namun, jika ditinggalkan saki-baki makanan yang masih elok, pembaziran berlaku. Musuh Allah (baca: syaitan) yang sukakan pembaziran. Rezeki yang ada di hadapan mata dibazirkan, bagaimana ingin memiliki barakah rezeki? Bagaimana ingin menarik dan menjemput rezeki lain lagi selepas ini jika yang telah Allah kurniakan  kita sia-siakan?

Ibarat kanak-kanak yang belajar berbasikal bermula dengan roda tiga. Apabila sudah pandai mengurus diri menggunakan basikal beroda tiga, diyakini kemahirannya, barulah keluarganya yakin untuk memberinya belajar basikal beroda dua. Upgrade kepada yang lebih baik.

Kita pula?
Pengurusan rezeki kita?
Adakah kerana pengurusan makanan kita yang secara suka hati menjadi punca Allah menahan rezeki yang seterusnya? Kecuaian kita untuk mengurus dengan baik rezeki pemberianNya tidak melayakkan kita untuk menerima yang seterusnya. Na'uzubillah.

Waima kita memasak.
Bahan yang kita gunakan, membazirkah? Masih ada separuh cili merah. Dibuang teruskah walaupun masih elok? Atau disimpan semula untuk kegunaan masakan seterusnya?

Perilaku kita adalah contoh dan tauladan kepada yang melihat. Ahli keluarga, anak-anak, pasangan dan sesiapa sahaja.

Imej: Carian Google


BINA PERIBADI ANAK WAKTU MAKAN

Saya kongsikan sedikit ilmu yang saya pernah kongsikan di mukabuku saya sebelum ini. Daripada Ustaz Nasir.

Ibu bapa disarankan agar menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak.

Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup.

Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan:

 
1. Tunggu orang yang paling tua

Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah.
Kalau tidak ada ayah, emak dahulu.

Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita.
Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu makannya.

 
2. Baca Bismillah dan guna tangan kanan

Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya.
Yang biasa dia ambil masuk ke mulut dengan nama Allah dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan.
Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat.
Amalan ini tak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tapi perlu pada kesabaran dan istiqamah.

 
3. Ambil lauk terdekat dulu

Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat.

Kenapa?

Melatih sabar.

Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tak mengapa, itu dikira usaha ikhtiar untuk dapat yang lebih baik.
Ia mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja.
Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak.
Memang anak akan rasa lain.
Kalau dia tak mahu lauk itu tak mengapa tapi kita memberi tu yang mustahak.
Kalau kita buat macam itu, dia juga akan jadi macam itu pada orang lain.
Kita sudah bina masyarakat penyayang di dalam rumah kita. 
Malah untuk latih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah waktunya.

 
4. Kawal suapan

Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi di dalam mulut itu belum ditelan.
Sesudah ditelan, baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut.

Untuk apa?

Melatih jangan tamak dan bersifat qanaah
Mencukupi apa yang ada.
Atau lebih tepat, melatih syukur terhadap apa yang Allah kurniakan.
Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri.

Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia mempengaruhi roh.


5.  Makan sehingga habis

Ibu bapa atau orang yang lebih tua menunjukkan contoh makan di hadapan anak-anak dengan makan sehingga habis apa yang ada di dalam pinggan. Bermula dengan mengambil makanan secukup yang mampu dimakan, tidak berlebihan.

Anak-anak akan memerhati dan lama-kelamaan akan menjadi habit mereka juga.


Pernah saya melihat arwah Ayah Ngah saya makan di meja makan. Arwah merupakan seorang yang soft-spoken, manis raut wajahnya dan sentiasan tersenyum. Melihatkan cara arwah makan di meja makan, saya masih ingat hingga ke saat ini dan menjadi tauladan kepada diri saya. Tulang-belulang ikan itu dibersihkan sebaiknya hingga tiada sisa yang dibazirkan. Begitu cermat dan beradabnya arwah terhadap rezeki makanan. Allah...


Imej: Carian Google

Apabila menulis ini semua, ia menjadi peringatan juga buat diri saya. Semoga apa yang dikongsikan di sini bermanfaat dan sama-sama kita cuba praktikkan, biiznillah. 

:)


Wednesday 18 December 2013

Alhamdulillah Bergraduasi!


Teks: ain akib


GRAD! :)

 
Alhamdulillah. Setelah 5 bulan, akhirnya saya telah berjaya bergraduasi dari Kelas Belajar Buat Blog. Jika dihitung, sebenarnya yang disarankan adalah grad dalam masa kurang dari 2 bulan tetapi kerana lonjakan passion yang grafnya turun naik, jadilah 5 bulan, :)

Terima kasih Ya Allah, :)

Banyak perkara yang saya belajar dalam melahirkan sebuah blog. Bukan setakat melahirkan tetapi proses membinanya dan maintenance itulah yang menuntun segala perilaku yang baik. Kerajinan, kesudian untuk berkongsi rasa, kesediaan untuk belajar dan mencuba, pengurusan masa, juga melonjakkan diri luar daripada kebiasaan. Itulah yang saya pelajari dan masih belajar.

Semua ini saya lakukan dengan bimbingan Sifu Blog saya, Puan Khairunnisa Hamzah dan sahabat-sahabat sekelas. Yang menariknya, semuanya secara di atas talian (online). 

Terima kasih Ya Allah, menghantar mereka kepadaku untuk belajar banyak perkara yang bermanfaat.


TERIMA KASIH SIFU

Saya kepilkan di sini Sijil Graduasi saya, :)
Semoga ia menjadi pembakar semangat saya untuk membantu orang lain dan menambah nilai hidup saya dan masyarakat. Ameen.


Daripada Guru Kelas Online saya, Puan Khairunnisa Hamzah.

 

"Syukur Alhamdulillah, selesai sudah Ain Akib dalam menyiapkan kesemua tugasan dan latihan sepanjang berada di dalam kelas belajar asas blog secara online bersama saya. Ain yang juga merupakan sahabat di Sekolah Sains Muar dulu begitu menghayati penulisannya di dalam blog penjenamaan AinAkib di http://noorulainakib.blogspot.com/ dengan tajuk blognya TIPS BERBICARA MELALUI VIDEO dengan tag line : Video berbicara, hati bercerita. Antara peserta kelas asas blog akademi bekerja di rumah, ain merupakan peserta pertama yang menawarkan khidmat membina video untuk sesiapa saja bagi pelbagai tujuan. Ain juga turut memuatkan tips dan perkongsian berkenaan video dan penerapan jiwa yang lain. Hari ini 18 Disember 2013, saya selaku Guru Online kelas asas blog di bawah kelolaan saya di akademi bekerja di rumah dengan rasminya mengishtiharkan AinAkib telah pun tamat sesi latihan dan telah graduate dari sesi pembelajaran di kelas asas blog online ini. Semoga Ain terus istiqomah dalam menulis dan memperkenalkan perkhidmatannya pada orang ramai. Seterusnya ain akan dijemput untuk menjadi salah seorang contributer di page Wahm Sahm Soho dan layak beriklan di http://sohodirectory.blogspot.com/ selama setahun secara percuma. Ain juga akan diserap sebagai rakan niaga akademi bekerja di rumah. Tahniah buat Ain Akib! "

Belajar Buat Blog Dan Fanpage 100% Secara Online




Tuesday 17 December 2013

Kem Idola Kecil


Teks: ain akib


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


MELENTUR BULUH KECIL

Alhamdulillah. Hujung minggu yang lalu selesai melentur buluh-buluh kecil dengan indahnya solat, :).

Kem Idola Kecil adalah anjuran Jawatankuasa Surau An-Najaa, Taman Ara Indah, Permatang Pasir, Pulau Pinang bersama Madeenah. Buluh-buluh kecil dari usia 8 - 14 tahun ini memberi peluang untuk diri mereka ditarbiyah. Pelbagai gelagat lucu daripada mereka, :). Kesabaran turut diuji apabila semangat kanak-kanak girang ini berada di tahap yang optimum, hehe.


Imej: Waktu makan


Imej: Sesi bersama fasi

Alhamdulillah, 2 hari 1 malam bersama dengan mereka memberi peluang kepada kami untuk mengulangkaji semula panduan solat yang sempurna. Tarbiyah buat kami dalam menyampaikan ilmu dalam melentur buluh-buluh kecil ini. Sesungguhnya ia merupakan hadiah yang indah apabila berkongsi buah ilmu bersama mereka, insan-insan kecil ini masih lunak menerima ilmu. Bagaikan span yang mudah menyerap ilmu dan bersungguh mencuba untuk menghafal ayat lazim di dalam solat. Melihat pada rakan-rakan yang bacaannya agak lancar membakar semangat mereka untuk turut sama menjadi lancar. :)


Imej: Peserta lelaki

Melihat telatah mereka, mengingatkan semula detik diri ini juga pernah berada di alam seperti mereka. Merangkak pada mulanya untuk menyematkan sesuatu yang berharga dalam diri. Betul, dengan aktiviti mengulang-ulang akan tertanam dalam minda dan menjadi habit, insyaAllah. Lazimkan diri agar biasa mendirikan solat, membaca dengan tertib dan betul sebutan, insyaAllah buluh-buluh kecil ini mampu menjadi imam generasi hadapan. Ameen.


KISAH ADIK REMAJA DENGAN ANAK KUCING




Pada petang itu, sebelum kami memulakan aktiviti selepas waktu asar, kelihatan seorang adik remaja lelaki di atas sebuah motosikal berada berhampiran di tapak yang ingin kami gunakan. Melihatkan kami mendekatinya, dia terus memberitahu bahawa dia sedang memberi makan kepada 3 ekor anak kucing di situ. MasyaAllah, bagusnya! Betapa mulianya hati adik itu memberi makan kepada haiwan kesayangan baginda Nabi, besar pahalanya. Moga Allah berkati kehidupan adik remaja itu, :)


HARAPAN


Imej: Kumpulan yang ceria dan aktif

Terima kasih kepada adik-adik ini yang mengizinkan kami daripada Madeenah Team bersama-sama dengan mereka. Moga mereka beroleh ilmu yang bermanfaat dan menjadi saham akhirat kami. Moga doa yang telah diaminkan beramai-ramai menjadi benih yang akan tumbuh subur dalam diri mereka, insyaAllah.

Terima kasih Ya Allah, :)

Monday 16 December 2013

Filem dan Panggung Wayang


Teks: ain akib


FILEM

Ada pelbagai genre filem yang menguasai pasaran. Yang seringkali mendapat tempat adalah berdasarkan fenomena yang melanda ketika itu. Contoh, ketika musim K-pop melanda samudera Malaysia, semua yang berkaitan artis korea menjadi kegilaan ramai. Dari biodata artis, kumpulan penyanyi, drama korea, filem korea dan tempat-tempat menarik di Korea. Sebut sahaja nama Lee Jun Ki, Lee Min Ho, siapa yang tak kenal? Menjadi pujaan (sebut: poo-jaan) hati wanita terutamanya remaja, :)
  

Imej: Carian Google

Fenomena bermusim seringkali menjadi target untuk penjualan filem. Seperti musim perayaan seperti Aidilfitri, krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali akan keluar filem berunsur kasih sayang kekeluargaan dan musim kemerdekaan pula filem berunsurkan semangat patriotisme.

Filem yang mendapat rating tontonan dan kutipan yang tinggi dikategorikan sebagai filem box-office.

Namun, genre filem ini perlu diberi perhatian kerana unsur-unsur filem yang kita tonton, sedikit sebanyak akan membentuk peribadi kita.
 
   
PANGGUNG WAYANG


Imej: Carian Google

Filem yang ditonton di panggung wayang berkelebihan dari beberapa sudut.

  • Kapasiti ruang yang besar membenarkan lantunan audio yang berkesan. Maka efek bunyi adalah maksimum.
  • Layar skrin yang besar memberi kepuasan maksimum menonton.
  • Selesa berpenghawa dingin


MINI PANGGUNG

Imej: Carian Google

Imej: Carian Google


Juga dikenali sebagai mini teater di rumah, :)
Kelebihannya juga ada iaitu:

  • Menonton bersama keluarga secara santai tanpa menghiraukan gangguan yang berlaku
  • Pelaburan duit hanya pada permulaan untuk membeli set mini teater
  • Bila-bila masa untuk menonton
  • Tidak perlu mengeluarkan kos membeli tiket, petrol dan makanan. Hanya kos membeli dvd
  • Santai di rumah sendiri


TONTONLAH FILEM

Bagi yang gemarkan keselesaan menonton dan ingin menjiwai filem, tidak salah memilih keadaan menonton yang disukai. Yang paling utama ialah Allah juga suka dan redha.

  • Sukakah Allah JIKA kita menonton dalam kegelapan namun ada tersorok sebarang aktiviti atau perkara yang dimurkaiNya? JIKA tiada alhamdulillah.
  • Bahan tontonan itu memberi manfaat pada diri dan hati? Atau memudaratkan?
  • Sesuaikah masa yang digunakan untuk menonton itu? Atau kita telah mencuri masa untuk melaksanakan suatu yang lebih utama?

Kerana, apa jua kesukaan kita, tetap perlu dipagari dengan iman dan taqwa. Itulah benteng dan perisai bagi menjaga diri insan bernama hamba. Dibekalkan dengan akal bagi menilai dan menimbang setiap perkara sebaiknya. Pengakhirannya akan tetap kembali pada Pencipta. Sukakah Dia jika aku berbuat begini dan bertindak begini?

Saya juga dalam proses membaiki diri. Berusaha untuk memilih bahan tontonan yang mendatangkan impak yang baik buat diri, berusaha memilih untuk menonton di tempat yang juga baik harapnya. Kebiasaan yang ingin diubah bukanlah hanya dalam sekelip mata tapi mampu dilaksanakan apabila kesedaran itu ada, insyaAllah.


MINI FILEM = VIDEO


Imej: Carian Google

Sebagaimana filem yang gah tertera bermain di layar skrin, video adalah versi mini filem yang mahukan impak yang sama. Ingin menyampaikan maklumat, menarik perhatian penonton dan membantu orang ramai untuk lebih sejahtera dalam menjalani kehidupan.
 
Filem lebih kepada penyampaian intipati nilai moral, manakala video memaparkan nilai kesedaran dan capaian mudah untuk memperbaiki kehidupan. Lihat sahaja pada iklan di kaca televisyen, penyampaiannya jelas merangkumi visual, audio, kinestetik dan digital. Empat unsur yang membantu dalam menyampaikan maklumat. Akan saya ulas dalam entri yang lain insyaAllah.



Wednesday 11 December 2013

Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (II)


Teks: ain akib



Entri terdahulu : Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (I)
 

Imej: Carian Google


Buat hati-hati yang dipegang oleh Robb,


BELAJARLAH MELEPASKAN


Segala KEJAYAAN, KEBAHAGIAAN dan KEBERKAHAN telah Allah sediakan. Cuma terhijab kerana tembok keegoan, keinginan dan prasangka buruk kita.
Maka, untuk dapatkannya kembali, belajarlah untuk MELEPASKAN tembok itu dengan IKHLAS.  


Hati yang lembut mampu mengubah sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik, insyaAllah.
Di situ tapaknya iman.
Tempat jatuh pandangan Allah.

Lembutkan hati dengan sentiasa mengingatiNya. Di situ ada tenangnya. Basahkan mulut dengan alunan zikrullah. Sewaktu memasak, mengemas rumah, memandu ke tempat kerja, bangun dari tidur. Bila-bila sahaja.

MengingatiNya akan membawa kepada hitungan yang tidak ternilai.
Pemurahnya Dia.
Pengasihnya Dia.
Penyayangnya Dia.
Rezeki kelilingku tak kunjung putus.
Rezeki dalam bentuk tubuh badan yang masih baik berfungsi. Masih boleh mengunyah makan, menelan minuman, bernafas dengan gembira.
Rezeki dalam bentuk masih punya tempat tinggal yang elok. Berteduh dari terik mentari dan basahan hujan.
Rezeki dalam bentuk punyai keluarga yang saling mendoakan.
Rezeki dalam bentuk dikelilingi sahabat-sahabat yang membina. Menghulurkan bantuan bila diperlukan.

Ikhlas itu anugerah daripadaNya.


LEPASKAN UNTUK DIA MENGAMBIL ALIH



Setiap hari adalah BERKAH. 
Tiada istilah musibah jika kita izinkan diri kita dilentur oleh Allah.


Jika masih terasa amat sukar untuk melepaskan sebarang rasa yang negatif, berdoalah. Minta pada Pencipta hati, Ya Latif.

Sentiasalah kita kembali padaNya, Dia Ya Awwal, Ya Akhir.
Dia tidak akan mengecewakan hambaNya.

Jadilah kita seorang muslimah yang bahagia dan membahagiakan.
Seorang anak yang bahagia dan membahagiakan.
Seorang isteri yang bahagia dan membahagiakan.
Seorang ibu yang bahagia dan membahagiakan.
Seorang pendidik yang bahagia dan membahagiakan.
Seorang jiran yang bahagia dan membahagiakan.
Seorang saudara yang bahagia dan membahagiakan.

Bersamalah kita bangunkan peribadi yang indah juga baik pekerti.
Itulah fitrah kita.
Itulah hukum alam.
Membahagiakan.


TERIMA KASIH YA ALLAH

Terima kasih Ya Allah.
Peringatan lembut daripadaMu untuk mengingatiMu.
Melalui perantara guru dan rakan-rakan dalam eHati yang tidak putus saling mendoakan.
Anugerah daripadaMu untuk kembali padaMu.
Terima kasih Ya Allah.


Pada hati yang jernih, ia bisa memaknai setiap sisi indah.

:)

Entri terdahulu : Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (I)

 

Tuesday 10 December 2013

Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (I)


Teks: ain akib

الحمد للة

Imej: FB Intensif Terapi eHati 2.0

Allah izinkan saya untuk bersama dengan rakan-rakan baru dan lama dalam Intensif Terapi eHati 2.0. Bertempat di Thel Regency Hotel, Kuala Lumpur dari 29 November sehingga 1 Disember 2013 yang lalu.

Terima kasih Ya Allah, :)

Saya kongsikan serba sedikit apa yang saya perolehi dari program istimewa ini. :)


SAYA SERONOK

Saya seronok menemui beberapa ilmu baru yang banyak menjelaskan beberapa perkara tentang diri kita. Antaranya:
  • Mengapa sikap kita sebegini rupa
  • Apa yang mendorong kita melakukan sesuatu itu
  • Tindakan kita didahului dengan apa yang kita mahukan
  • Rasa kita sering dipandu oleh apa yang terbentuk dalam diri kita sekian lama

Benar.
Walaupun cuba dinafikan tetapi ia tetap benar. It's the cold truth.

Kadang-kadang, sikap dan rasa itu sesuai dan betul.
Terkadang-kadang juga ia menjauhkan kita dari merasa bahagia.

'Betul dah apa yang aku buat tapi kenapa aku rasa serba tak kena ya?'

Berlegar-legar rasa tidak selesa dan tidak sedap hati.
Rasa bersalah dan kurang yakin bermain di hati.


HAKIKATNYA

Bila ditanya pada akal, akal akan mencari MAKNA.
Makna akan membimbing kita mencari yang logik dan realistik.
Tetapi,
Bila ditanya pada hati, hati akan mencari RASA.
Rasa yang fitrah akan memandu kita mencari jalan yang perlu ditempuhi.
Bukan hanya rasa yang sesedap rasa, ;)

Seringkali perkara buruk dan kurang kita senangi datang menjengah dalam kehidupan. Kita gelarnya ujian. Respon kita terhadap perkara itu, adakah selari dengan fitrah kita sebagai manusia?


FITRAH. HUKUM ALAM.

Ibarat air sungai. Fitrahnya adalah mengalir terus mengikut haluannya. Tidak berpatah balik. Sungai bahagia menjadi sungai kerana ia mengikut fitrahnya. Fitrah, kejadian Allah yang terbaik yang ditetapkanNya.

Manusia?


Manusia fitrahnya akan meningkat dewasa dan tua jika masih panjang umurnya. Tidak berpatah balik usia itu.



Imej: Carian Google
 
Hukum alam itu indah dan membahagiakan.

Sungai bahagia menjadi sungai.
Burung bahagia menjadi burung.
Pepohon bahagia menjadi pepohon.

Semuanya bahagia dan menenangkan. 

Itulah sebab manusia kembali mencari alam untuk ketenangan.
Deruan air terjun yang menyegarkan.
Bunyi cengkerik dan unggas yang mendamaikan.
Hempasan ombak yang lembut menenteramkan.

Semua itu patuh menurut hukum alam.

Begitu juga manusia.
Bahagia apabila menuruti hukum alam. Fitrah.
Fitrahnya kembali pada Pencipta.

Terima kasih ya Allah, :)

 
KEMBALI KEPADA FITRAH



Imej: Carian Google

Ibarat sungai itu tadi. Ia masih didatangi ujian. Ujian dilempari dengan sampah daripada manusia. Ujian dimuatkan dengan sampan daripada manusia untuk berulang alik. Ujian dilimpahi dengan hujan lebat sehingga membanjiri kawasan sekitarnya dan kemudian surut kembali seperti biasa. Itu semua ujian yang Allah berikan dan sungai tetap mengikut fitrahnya, ia tetap mengalir. Tidak benci menjadi sungai. Sungai menerima segala ujian itu dan menjalani ujian itu dengan cara terbaik.

Kita?
Sama juga kita manusia.
Fitrahnya akan didatangi ujian. 
Kawalan minda mampu mendepani ujian.
Tetapi kawalan rasa amat menentukan kesannya.

Rasa akan menetapkan hati pada perlunya kita pada Pencipta.

 
Imej: Carian Google

Ujian diberikan kejayaan demi kejayaan, alhamdulillah. Terima dengan gembira dan bahagia. 

Ujian kesukaran dalam kerjaya, alhamdulillah. Ikutkan logik akal, teruskan usaha, lupakan kisah silam. Perlakuan boleh terus mengejar kejayaan, namun, rasa sakit, marah, dianiaya dan putus asa tetap bersarang dalam jiwa. Akui rasa itu, nafikan tidak. Terima kehadiran semua rasa itu. Perlahan-lahan lepaskan semua rasa itu. Lakukan dengan terbaik. Izinkan ia pergi dan mohon Allah gantikan rasa yang terbaik.

Terima kasih ya Allah, :)

Ujian pemergian orang yang tersayang, alhamdulillah. Rasa sedih, hilang tempat bergantung. Akui rasa itu, terima rasa itu. Lepaskan ia. Izinkan Allah mengatur hati itu. Dia tahu yang terbaik bagi hambaNya. Detik melepaskan itulah yang akan mengundang bahagia semula dalam kehidupan. Selagimana kita tidak melepaskan, ia akan menjadi toksik dalam diri dan menghalang bahagia dari datang menyinggah.

Terima kasih ya Allah, :)

Hebatnya akal, alhamdulillah, satu bonus daripada Ya Khaliq.
Hebatnya kawalan RASA yakni kawalan HATI, alhamdulillah. 
Menjana bahagia dan cinta dari Pencipta.


eHATI

Suasana dan rasa yang dialami ketika berada di dalam program istimewa ini tidak dapat saya terjemahkan dalam kata-kata. Pembawaan Sifu saya, Puan Diyana Tahir, bersama Puan Zuvina Ali, hanya yang berada di sana akan dapat merasainya. Yang mampu saya kongsikan di sini adalah perkongsian yang dapat dicerna akal. 

Beruntunglah bagi hati dan jiwa yang dapat menyelaminya, :)
Alhamdulillah.

Saya akan kongsikan lagi buah ilmu dari program istimewa ini dalam entri yang seterusnya juga, insyaAllah.


Pada hati yang jernih, ia bisa memaknai setiap sisi indah.

:)

Entri seterusnya : Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (II)



Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...