Friday 26 July 2013

Adik Senyum Manis!


Teks: ain akib


ADIK MANIS 1

"Adik manis!" panggil abang berbangsa Bangladesh yang menjinjing karpet untuk dijual sambil tersenyum. 

Respon si gadis hanya dengan tersenyum simpul kembali, kemerahan wajahnya. 
'Aduhai. Aku janggal dipuji manis seperti gula!' :)



Imej: Carian Google


ADIK MANIS 2

Di sebuah stesen minyak pula, atendan pam minyak lebih dahulu tiba di kereta sebelum sempat si gadis melangkah keluar dari keretanya. 

"Mahu isi berapa adik?" tanyanya sambil tersenyum lebar. 

"50 ya," jawapan mendatar diberikan. 

Masih kekal dengan senyuman tadi, "Ok adik," jawabnya. 

Sambil menanti minyak diisi ke dalam tangki kereta, dia meneruskan perbualan, kelihatan tidak mahu melepaskan peluang untuk berbual dengan cik adik manis. "Puasakah ini hari?" tanyanya. 

Tidak tahu untuk bereaksi bagaimana, "Err..haa..ya, puasa," jawab si gadis. 
Dalam hati 'Ramahnya. Meh aku tanya dia pula', "Awak puasa tak?" sambil mengangkat kening. 

Dengan senyuman yang masih tertampal di wajahnya dia menjawab, "Saya mana puasa, saya bukan orang sini,". 

"Awak orang mana?" tanya si gadis, sedikit pelik kerana wajahnya kelihatan kemelayuan.

"Saya orang Myanmar," beritahunya. 

"Ohh.." jawab si gadis sambil terangguk-angguk. 

Pantas disambung jejaka itu dengan nada perlahan dan diiringi ketawa kecil, "Tunggulah saya kahwin orang sini, nanti saya puasa,". Malu-malu kucing sahaja rentaknya. 

'Ehhhh?? Betul ke tidak apa yang aku dengar ni?' monolog si gadis.

 
UHH..OHH..

Pernah alami atau melihat situasi di atas ini?
Agaknya apa yang berlaku seterusnya?
Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran?

Fikiran yang biasa-biasa akan berkata begini:

'Eiii. Gatalnya dia ni. Nak kahwin dengan orang sini, nak dapatkan kerakyatan negara ni lah tu. Mesti macam tu. Ingat senang ke nak dapat label warganegara tu, huh,'. 

Sarang bersangka-sangka makin melebar dan menggelapkan hati. Penat otak bekerja mengerah sebab musabab yang meletakkan diri orang itu di paras bawah, perasaan dengki dan berasa diri sendiri lebih bagus bermaharajalela.

Fikiran yang sedikit luarbiasa pula:

'Ohh. Bagusnya. Dia ada niat nak puasa, mendalami Islam, alhamdulillah. Tak kisahlah dia hendak kahwin dengan orang sini pun, sekurang-kurangnya dia bermatlamat dan akan bertambah umat Muhammad lagi. Moga Allah beri hidayah pada dia, ameen,'. 

Sedikit sahaja beza iaitu diberi sedikit pengharapan bersandarkan agama dan dipanjatkan doa berpaksikan Ilahi. Bukankah lebih baik dan mudah? Tidak mustahil dan bukan retorik jika Allah berkemahuan hati itu berada dalam pegangan rahmat kasih sayangNya.


LALU LINTAS HATI

Lintasan awal selalunya lahir dari didikan yang diterima oleh hati. Persepsi awal itu menggambarkan keadaan jiwa; yang indah dengan sifat mahmudah ataupun terpalit comot dengan unsur mazmumah. 

Percayalah, berbaik sangka adalah muzik jiwa dan fitrah asal manusia. Persekitaran berperanan menyumbang ke arah pembentukan jiwa dan di sini peranan persekitaran berjemaah itu berkuasa mendidik dan membentuk. 

Kita telah sedia maklum kekuatan hakiki adalah dari kumpulan yang terdiri dari banyak orang berbanding seorang diri. Begitulah pentingnya MENCARI dan MENEMPATKAN diri dalam kelompok yang membina. Persekitaran yang korup harus pantas disedari dan agamalah yang akan membimbing kembali kepada fitrah manakala persekitaran yang cantik pekerti dan sopan bahasa diselarikan dengan percubaan meraih cintaNya. 



Imej: Carian Google


Cuba praktikkan sehari sahaja dengan bersangka baik pada semua perkara yang berlaku pada kita dan yang terjadi di sekeliling kita.  Apa yang dapat dirasakan?

Tonton berita, bersangka baik; 

'Mungkin mereka masih tidak menyedari kebenaran yang nyata di depan mata dan masih kabur dengan ujian nikmat' berbanding 'Memang mereka begitu, tak berubah langsung. Dari dahulu sampai sekarang berperangai sama sahaja'. 

Lihat jiran sebelah, bersangka baik; 

'Mereka mengalami salah faham dan sedang cuba diselesaikan, Ya Allah, bantulah mereka, hanya Engkau yang mampu membantu mereka' berbanding 'Ya Allah, bising lagi. Teruklah mereka ni, ingat mereka sahajalah yang bermasalah sampai satu kampung pun tahu. Bukan nak mengata ke apa tapi anak mereka yang seorang tu.....'. 

Lihat kemalangan, bersangka baik;

'Allah.. Engkau selamatkanlah pemandu dan penumpang-penumpang dalam kenderaan itu. Mungkin pemandunya terlelap sebentar kerana terlalu mengantuk yang tidak dapat ditahan. Peliharalah mereka Ya Allah' berbanding 'Ha, tu tak lain tak bukan mengantuklah tu. Dah tahu mengantuk bukan nak berhenti rehat ke apa. Ni dah jadi macam ini mulalah menyusahkan orang, jem lah, apa lah. Orang nak cepat pun jadi lambat...'.


KESAN DAN PESAN

Terang lagi bersuluh bahawa bersangka baik itu menenangkan jiwa, menstabilkan emosi, mengawal diri dari membuka aib, meletakkan pergantungan pada Dia yang satu dan kembali pada mengakui kuasa Maha Pencipta. 

Apabila sebaliknya, jiwa menjadi gelisah, emosi berombak, satu demi satu aib dibuka, meletakkan diri sebagai tahu segala sebab dan punca berlaku tanpa menyelidiki kisah yang sebenar. Penat yang diperoleh dan ini berupaya merosotkan kualiti iman. Jangan sampai sehingga menggugat akidah kerana sikap yang suka cakap lepas, itu bahananya.

Perkara BIASA yang kelihatan juga BIASA namun jika dibiarkan berleluasa bakal memakan diri kelak. Fitrah manusia adalah perlu pada peraturan, perlu ada sempadan yang menjaga, bukan menghalang. 

Sedangkan jalanraya pun mempunyai peraturan untuk menjaga keselamatan penggunanya, masakan Allah akan membiarkan ciptaanNya bebas tanpa panduan? Sifatnya Ya Salam (Maha Penyelamat) memberi keselamatan pada sekelian makhluknya. Terbukti dengan akhlak yang dibawa oleh kekasihNya, Muhammad SAW dan kitabNya, Al-Quranul karim.


Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) memilih kita berada dalam naungan rahmatNya.

Syukur Ya Allah, Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan sekeping hati yang lembut dan tunduk pada arahanMu. Jangan Engkau keraskan hati ini kerana jiwa yang keras itu adalah jiwa yang jauh dariMu, jauh dari rahmatMu. Izinkan diri ini melaksanakan janji yang diucap saban hari,
   
   اِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي ِﷲِ رَبِّ الْعَالَمِينَ    

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam"




Imej: Carian Google


Izinkan aku menterjemahkannya dalam lintasan hati, fikiran, lisan dan perlakuanku Ya Allah.
Ya Mujeeb, Engkau perkenankanlah.
Ameen.

:)


Tuesday 23 July 2013

Perginya Bertemu Cinta Sejati


Teks: ain akib


Imej: Opah


Dia sudah lebih dari tiga suku abad. Kakinya sudah terangkat perlahan tiap kali melangkah, sudah tidak mampu berjalan jauh. Tongkat berkaki empat menjadi teman setia. Penyabar. Ya, seorang  yang cukup sabar melayani kerenah kanak-kanak yang degil dan biut (loghat perak). Inilah arwah Opah yang duduk bersama membesarkan kami adik-beradik. Sejak arwah Tok meninggal pada tahun saya dilahirkan, Opah menetap bersama kami di Gombak.

Mengimbau waktu zaman sekolah dahulu, waktu paling ribut adalah ketika waktu bersiap hendak ke sekolah. Tak jumpa stokin, Opah yang ditanya, tak jumpa botol air, Opah juga yang ditanya, berkejar sebab takut kena tinggal dengan bas sekolah. Di dapur dialah juga gurunya, sangat mudah menjadi pembantunya sambil belajar resepi gulai dan lauk-pauk. "Lepas ni buat apa Opah?" soalan yang lazim ditanya.

Kegemarannya adalah menonton berita dan membaca suratkhabar. Satu sifat yang saya kagum tapi masih belum dapat dipraktikkan. Opah selalu pesan belajar rajin-rajin dan jangan sepahkan rumah. Apabila waktu solat jemaah Maghrib dan 'Isya, Opah selaku Makmum Utama (gelaran yang kami beri) mesti ada, baru boleh mula solat. Kebanyakan masa Opah akan solat duduk menggunakan kerusi kecil kami. Waktu sebelum atau selepas solat adalah waktu kritikal kami bergurau senda sesama sendiri memandangkan semuanya perempuan melainkan Tok Imam, sampai yang tak lawak pun jadi lawak, hehe.
 
Pertengahan Julai 2010, Opah ditahan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana sakit di bahagian jantungnya. Beberapa hari sebelum itu, Opah tiba-tiba menyatakan hasrat ingin pergi berjalan ke Pulau Pinang memandangkan saya masih berada di sana ketika itu. Adik saya Teh Jawahir membawanya dan menetap di sana beberapa hari. Sempat juga kami pergi melawat adik bongsu saya, Thuraiya yang belajar di Merbok, Kedah. Pada hari Opah pulang ke Ipoh, sakit di bahagian dadanya semakin menjadi dan pada hari itulah terus dibawa ke IJN.

Kami anak-beranak dan cucu-cucunya bergilir menjaga Opah di IJN. Hujung minggu itu sempat saya dan sepupu saya Suhaila bermalam di ruang menunggu di sana, memantau perkembangan Opah. Jantungnya masih lemah walaupun tidak kritikal. Kembalinya saya ke Pulau Pinang dalam keadaan risau dan saya berdoa saya tidak mendapat sebarang panggilan telefon mengejut daripada ahli keluarga.


23 Julai 2010. Jumaat. 
Pada hari ini saya dijadualkan berprogram bersama adik-adik SMK Convent Pulau Tikus yang bermula pada petang harinya. Segala persiapan telah dibuat bersama sahabat-sahabat dari Kelab Remaja Lestari (KRL). Namun, seawal jam 5 pagi telefon saya berbunyi. Tertera nama MAK. Terus jantung berdebar laju walaupun baru sahaja tersedar dari tidur. Saya angkat dan Mak hanya diam seketika. "Enn... Opah..." kata Mak akhirnya. "Kenapa dengan Opah?" laju saya bertanya. Mak diam lagi dan menyambung dalam sebak, "Opah dah tak ada..." sambil teresak-esak. "Hah? Bila?" saya bertanya lagi, masih terkejut dan blur. Mak menjawab, "Kejap ni tadi...". Lafaz Innalillah terlafaz perlahan di bibir dan air mata terus mengalir laju.

Allahurabbi.
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Al-Baqarah (156). 

Menjangka diri ini bersedia menerima khabar itu, rupanya masih sangat rapuh persediaannya. Insan yang menjaga dan mengasuh diri ini dari kecil, menyuap makan, melayan kerenah yang bermacam-macam telah pergi selamanya. Pernah diri ini membuatkan dia ketawa, menangis, marah, suka dan sedih. :'( Pesan terakhir Opah semasa dia di IJN, kebumikan dia bersama arwah Tokcik di Ipoh.

Saya pulang ke Ipoh menaiki bas dan terpaksa meninggalkan urusan berprogram kepada sahabat-sahabat. Terima kasih kerana memahami sahabat-sahabat. Sewaktu dalam bas, Allah memberikan ketenangan yang luarbiasa melalui sahabat baik saya Nurulhuda Sanusi. Kata-katanya amat menenangkan sekaligus menjadi tajuk kepada entri ini,

"Jangan sedih Ain, Opah Ain pergi jumpa cinta sejati, :)"

Allahuakbar. 

"...Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."
Ar-Ra'd (28). 

Dalam sedih saya masih mampu mengukir senyuman tatkala membaca kiriman SMS itu. Itu janjiNya. Terima kasih ya Allah. Terima kasih Huda. :)

Selesai jenazah dimandikan, saudara-mara di KL yang tidak sempat untuk pulang ke Ipoh, sempat menunaikan solat jenazah di IJN. Jenazah selamat tiba di Ipoh sebelum Zohor. Solat jenazah di sini disertai oleh jemaah yang usai solat jumaat. Moga ramainya bilangan jemaah ini menambah doa dan rahmat buatnya. Subhanallah, hadiah daripada Allah buat Opah.


Imej: Persemadian


Ya Allah, Engkau santunilah arwah Opah di sana.
Ya Mujeeb, Engkau tempatkanlah arwah Opah bersama golongan yang Engkau cintai.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pemberi Nikmat dan Penjaga.
Ameen, ya robbal 'alamin.


Al-Fatihah.

Saturday 20 July 2013

NAWAITU


Teks: ain akib


Semuanya bermula dengan NIAT. Dikenali juga sebagai MATLAMAT atau OBJEKTIF. Bagaimana nak tahu matlamat anda membina video? 

Mulakan dengan bertanyakan diri anda dengan soalan MENGAPA. WHY? Tanya berulang kali sehingga anda berpuas hati dengan jawapan anda. Jangan berhenti selagi anda belum capai ke dasarnya.


Mulakan.  

Mengapa anda ingin bina video ini? 
Kerana saya ingin mempromosikan bisnes.
Mengapa anda ingin mempromosikan bisnes anda? 
Kerana saya hendak orang ramai tahu akan kewujudan produk saya dan membelinya.
Mengapa anda ingin orang ramai membelinya? 
Kerana saya mahu orang ramai memiliki dan menggunakannya.
Mengapa anda ingin orang ramai menggunakannya? 
Kerana produk saya ini bagus.

Mengapa anda katakan produk anda bagus? 
Kerana produk saya boleh membaiki kehidupan orang lain supaya lebih selesa dan menjimatkan masa mereka.
Mengapa anda mahu menjadikan kehidupan orang lain selesa?
Kerana saya percaya apabila orang lain selesa ini akan membaiki kualiti hidup mereka seperti apa yang telah saya rasakan.
Mengapa anda ingin orang lain rasa apa yang anda rasakan? 
Kerana kita hidup di muka bumi ini adalah untuk saling kenal-mengenal dan saling bantu-membantu. 

Bukankah itu yang Allah perintahkan dalam Surah Al Hujurat (13), "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)...."


Nah.

Jika anda berjaya temui jawapan akhir anda yang membawa anda kembali kepada mengingatiNya, itu adalah sesuatu yang sangat indah kerana tidak lain tidak bukan itulah hakikat kejadian kita. 

Sejauh mana kita pergi, sebagus mana jawatan kita, kita tetap perlukanNya yang satu, kembali padaNya yang mencipta kita dan alam ini, Ya Bari (Maha Menjadikan). Akan lebih yakinlah anda bahawa membina video ini bukanlah sesuatu yang sia-sia, malah boleh mendekatkan diri padaNya! Subhanallah! Allah suka!


Imej: Carian Google


Cop.
Sebentar.
Kenapa perlu fikir sedalam tu? Menyusahkan. Video je kot.

Ya. Ia hanyalah sebuah video. Bukan benda baru yang pelik. Hari-hari kita dapat tonton video di facebook, youtube, dan televisyen. Ini kan perkara biasa? Biasa pada kita. Biasa pada masyarakat. Tetapi, adakah yang biasa itu benar? Benar pada pandangan kita tetapi benarkah pada pandangan Allah?

Bila kita mulakan sesuatu dengan niat yang menjadi punca kita meraih redha Allah, maka kita teruskan langkah yang seterusnya! 

Masih panjang langkah kita tetapi sepanjang masa harus sentiasa meminta padaNya agar niat kita terjaga, tidak terpesong. Doakan langkah kita dibimbingNya kerana kita perlu padaNya setiap masa, Ya Waliy (Maha Pelindung).

Cara ini juga boleh diaplikasikan setiap kali kita ingin menetapkan matlamat kita berbuat sesuatu perkara, malah tidak rugi! 

Lebih mendalam kita menyelami WHY, kita akan lebih faham tentang tujuan sebenar kita. Kejelasan ini akan sentiasa mengingatkan kita MENGAPA kita melakukan perkara ini dan ini akan menjadi penguat semangat ketika kita diuji dengan rintangan.

Matlamat saya menceburkan diri dalam dunia video ini bermula kerana minat. Saya berasa puas hati dapat menghasilkan sesuatu yang dapat saya kongsi bersama dengan ahli keluarga saya. Bermula dengan minat inilah, saya belajar sedikit demi sedikit secara sendiri dan apabila melihat respon orang yang menontonnya, gembira yang saya rasakan tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. 

Perkongsian rasa dan emosi inilah medium yang saya kira saya berupaya untuk membawa orang lain kepada kegembiraan. Kegembiraan yang kita suka dan paling penting Allah juga suka, insyaAllah. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan passion ini, moga Engkau redha. 

Untung.
Tidak Rugi!

:)



Thursday 18 July 2013

Kasih Padamu Ya Habiballah


Teks: ain akib


 
Rindu pada peribadi baginda..
Rindu menjejakkan kaki ke milikan baginda..
Raudhah, Masjid Nabawi..
Rindu yang membawa kepada meratib selawat pada baginda SAW..
Junjungan mulia, kekasih Allah..


KASIH PADAMU | HAFIZ HAMIDUN

Rasulullah dalam sirahmu
Kutemu tulusnya cinta
Demi umatmu berkorban jiwa
Sehingga hujung nyawa

Kau diutus atas nama kebenaran
Dengan fasih lidah beri penjelasan
Sabar dalam apa jua keadaan
Tak goyah dengan ranjau tekanan

Walau diri bisa menakluki tahta
Tetap rendah hati penuh sederhana
Seglanya demi Lillahi Taala
Azimat yang berharga

Rasulullah dengan hikmahmu
Terpancar syiar agama
Mengubah gelap menjadi terang
Menghapus jahiliyah

Rasulullah engkau tinggalkan
Semangat juang tertinggi
Membina satu aqidah
Membangun iman dan di lapangan mujahadah

Sahih hadis dan Al-Quran
Menjadi sumber cahaya pedoman
Hanya itu yang kau wariskan
Akan selamat di dunia akhirat

Rasulullah terlalu rindu
Padamu junjungan jiwa
Di dalm sunnah yang utama
Menyambungkan kasih denganmu

Rasulullah dalam sirahmu
Kutemu tulusnya cinta
Demi umatmu berkorban jiwa
Sehingga hujung nyawa

Rasulullah dengan hikmahmu
Terpancar syiar agama
Mengubah gelap menjadi terang
Menghapus jahiliyah

Ya Rasulallah
Ya Habiballah
Pabila terkenangmu
Mengalir air mataku




Wednesday 17 July 2013

Mengapa Kasar Sayang?


Teks: ain akib

 
Pernah tak kita bertemu dengan orang yang bersikap kasar?
Pernah tak kita sendiri bersikap kasar dengan orang lain?
Kasar dari sudut tutur kata, tingkah laku, dan mimik muka.

Tahukah mengapa kita selalu berkasar dengan orang ataupun bersikap serius?
Ini kerana kita rasa ragu-ragu.
Kita takut kita dipijak orang.
Kita risau pendapat orang. 

Lebih tepat lagi adalah kerana kita tidak sayangkan diri kita sendiri.
Jika kita tidak sayangkan diri kita, bagaimana hendak kita alirkan rasa sayang, gembira pada orang lain? Tak best kan?


Kita tidak mampu jadi positif selagimana unsur-unsur negatif bertapak dalam diri.

Contohnya kisah seorang ibu yang selalu marah-marah dan dengki dengan suaminya. Sedari kecil anak-anak selalu melihat ibu mereka marah-marah. Jika ibu lihat mereka bermain bersama ayah mereka, mesti si ibu akan marah. Bila ditanya si ibu, rupa-rupanya hidup si ibu dibesarkan dengan perasaan dengki dalam diri. Apabila banyak perasaan dengki dalam diri dan bukan cinta, terlihat apa yang suaminya buat semuanya salah. Semuanya negatif.

Jadi bagaimana?
Bagaimana hendak terapkan rasa sayangkan diri?

Cinta dan sayang saling beriringan.
Kita kena belajar mencintai diri sendiri barulah kita mudah untuk menerima cinta.
Kerana cinta akan melahirkan sikap yang positif dan indah. <3

Antara tips yang dikongsi oleh Prof Muhaya tentang bagaimana berhadapan dengan orang yang marah atau orang yang kita benci adalah dengan menganggap mereka itu adalah budak kecil.
Bila kita set minda kita begitu akan timbul rasa kasihan, jauh dari benci.

Kita kasihan, mungkin dia tidak faham tentang apa yang berlaku sebenarnya.
Kita kasihan, mungkin dia juga baru dimarahi tadi.
Kita kasihan dan kita rasa hendak bantu dia untuk berubah.
Kasihan adalah sifat yang mampu merendahkan hati kita dari ego yang melangit.



Imej: Carian Google


Mulakan dengan langkah pertama iaitu niat untuk berubah. Sifat cinta, kasih dan sayang ini adalah anugerah dari Allah. Bukankah pada namaNya sudah tertera sifat-sifat mahmudah ini? Ar-Rahman (Maha Pengasih) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang). 

Terlafaz di bibir kita setiap hari, berulang-ulang kali dalam kalimah Bismillahirrahmanirrahim. Allah mencintai hamba-hambaNya yang berusaha menghampiriNya. Mesti tak mahu lagi marah-marah bukan? :)

Saya juga masih dalam fasa berubah. Di rumah, adik-adik saya beri gelaran singa pada saya. Bukan kerana rupa tau tapi kerana gaya, :p. Terima kasih ya Allah kerana masih sayang pada saya. Tandanya Allah menegur lembut saya melalui seorang sahabat saya yang berkongsi ilmu di atas ini. Allah beri sayangNya, takkan saya tidak mahu membalasnya dengan cuba untuk bersikap yang Dia suka?

Cinta dan rahmat Allah yang membuat hidup kita bahagia dan tenang..
Allahuakbar..


Tuesday 16 July 2013

Memberi yang Terbaik


Teks: ain akib 

 
Saya tuliskan kembali ilmu yang saya peroleh sewaktu siaran radio berkumandang. Sedikit sebanyak menyedarkan saya tentang perkara REMEH yang selalu kita anggap BIASA tetapi BESAR IMPAKNYA. Saya ingin kongsikan bersama..

Bagaimana agaknya situasi orang yang bekerja di bahagian Public Relations ini ya?
Terutamanya apabila perlu berhadapan dengan pelbagai jenis, ragam dan kerenah manusia.
Contohnya jurujual, receptionist, telecommunicator, customer service, dan yang sewaktu dengannya...

Pastinya semua ini adalah sinonim dengan perwatakan muka yang manis, senyuman, tutur kata yang sopan, sabar, tidak mudah melatah, pandai memujuk, etc...
Bukankah itu ciri-ciri yang diharapkan dari kita apabila bertemu dengan mereka?
Kita mengharapkan mereka memberikan layanan yang terbaik menurut kehendak kita, bak kata pepatah 'the customer is always right'.

Slogan itu berasal dari syarikat yang meletakkan pelanggan sebagai keutamaan mereka demi menjaga kualiti dan prestasi syarikat. Kerana tanpa kita (pengguna), siapalah mereka?

Praktis yang diamalkan di negara Taiwan (jika saya tidak silap) adalah dengan menjaga kualiti yang satu ini. Mereka akan memastikan setiap kali hendak memulakan sesi bertemu pelanggan, mereka akan bersedia menyediakan diri mereka secara rohani dan jasmani; iaitu mereka akan mengulang-ulang beberapa ayat untuk menanamkan sikap positif dan menampal senyuman di wajah mereka. 

Mereka cuba memberikan yang terbaik. Itu adalah sikap atau habit yang diterapkan pada syarikat itu dan sikap ini menyumbang pada sebahagian besar kemajuan dan prestasi syarikat. Walaupun remeh, tetapi, impaknya besar bukan? Diamalkan oleh syarikat gergasi dan internasional malah mereka percaya bahawa yang remeh itulah yang mampu menghasilkan perubahan.

Kata kuncinya di sini ialah SIKAP memberikan yang terbaik.
Sikap kita walau sekecil mana pun akan memberi kesan pada orang lain.
Percaya atau tidak?

Imej: Carian Google



 

Kita lihat pada ibu kita.
Jika kita meminta pada ibu, "Ibu, kakak nak makan telur la bu.."
Apabila ibu memenuhi hajat kita, gembira dirasakan. Puas hati ini.
Bahkan, apabila ibu bertanya kembali pada kita "Kakak nak makan telur yang bagaimana? telur dadar ke, telur rebus ke, telur mata kerbau?"
Tahukah apa yang sedang dilakukan oleh ibu kita sebenarnya?
Ibu sedang berusaha memberikan yang terbaik untuk anaknya dengan memberi pilihan kepada anaknya agar dia dapat memenuhi kehendak anaknya. Beruntung bukan?
Secara tidak sedar, didikan informal sedang diterapkan. Nilai memberikan yang terbaik dalam melaksanakan sesuatu sedang diterapkan pada kita.

Seorang adik mengetuk pintu bilik abangnya, "Abang, boleh adik masuk?"
Selepas mendapat kebenaran, adik pun masuk ke dalam bilik.
"Ha, ada apa ni?" ataupun si abang akan tidak mempedulikan adiknya itu.
Ini adalah norma bukan?
Tetapi ada juga abang yang akan berkata begini, "Adik ok? Ada masalah yang boleh abang bantu?"
Si abang sedang cuba memberikan yang terbaik kepada adiknya dengan bertanyakan soalan yang berbentuk positif sekaligus membuatkan si adik berasa selesa.
Secara tidak sedar, seperti situasi di atas, proses yang sama sedang berlaku. Penerapan nilai murni dalam memberikan yang terbaik sedang berjalan.

Orang kata, pendidikan bermula dari rumah (habit begins at home). Ada benarnya. Sifat yang tertanam dalam diri anak-anak sedikit sebanyak adalah hasil dari pengamatan si anak pada sifat ibu bapanya. Sifat ini akan dibawa dalam diri hingga dewasa dan seterusnya diperlihatkan pula kepada keluarganya. Sifat turun-temurun kata orang. Jadi, adakah ini suatu berita yang menggembirakan atau sebaliknya?

Jika sifat baik dan positif yang diperturunkan, alhamdulillah, untungnya. Besar rahmatnya. Tetapi jika sifat yang sebaliknya, alangkah ruginya.

Hidup ini adalah mengenai PILIHAN.
Semua kita mempunyai PILIHAN.
Terbentang di hadapan kita ada begitu banyak PILIHAN.
Dan acapkali kita PERLU membuat PILIHAN.
Maka, mana satu yang menjadi PILIHAN kita?
Yang menguntungkan, atau yang merugikan?


Imej: Carian Google

 

Seperti kisah ibu di atas, ibu boleh memilih untuk terus menyediakan makanan untuk anaknya. Dan ibu itu juga boleh memilih untuk bertanyakan dahulu pada anaknya tentang kegemarannya pada waktu itu, yang mana ini dapat menimbulkan keseronokan dan rasa dihargai pada si anak. Berbaloi bukan?

Si abang juga mempunyai pilihan untuk melayan adiknya sekadar lalu atau memberikan perhatian sepenuhnya pada adiknya, yang mana dalam diam, ini akan menimbulkan rasa hormat dan sayang si adik pada abangnya.

Itulah HIKMAHnya memberikan yang terbaik.
Baik, lebih baik, dan terbaik.
Good, better, best.
Didikan dan asuhan yang Maha Pencipta sediakan untuk hambanya selami.
Yang TERBAIK.
Tidak rugi memberikan yang terbaik.
InsyaAllah.

:)

Monday 15 July 2013

Lihat, Dengar dan....


Teks: ain akib


Selalunya sambungan tajuk di atas ni adalah FAHAM kan? Lihat dengan mata, dengar dengan telinga dan faham dengan akal fikiran. Bagi menggerakkan ketiga-tiga ini, FOKUS amat diperlukan kerana teralih salah satu, terputuslah mesej yang hendak disampaikan atau diterima. Ibarat bercakap di telefon sambil menonton televisyen, otak pun keliru untuk hadam pendengaran rakan di talian atau kisah di televisyen. Akibatnya, komunikasi di talian menjadi tidak efisyen dan pemahaman kisah di televisyen menurun.


FOKUS.

Satu perkataan yang hebat. Bila diamalkan boleh merubah hidup. Bila difahami mampu membawa perkara yang biasa kepada yang luarbiasa. Penumpuan minda dan semua deria disatukan pada satu perkara, pada satu masa. Hasilnya pemahaman tentang mesej dan ilmu yang ingin disampaikan akan diperolehi.

Hebat bukan? :)


Imej: Carian Google


TELEFON.

Medium kita menyampaikan maklumat melalui pengaliran gelombang suara dan bunyi. Dari seorang ke seorang mahupun ke ramai orang. Meriah juga. Berdasarkan kajian, purata wanita dikatakan mempunyai kuota berkata-kata sebanyak 6,000 ke 8,000 patah perkataan sehari manakala lelaki hanya 2,000 ke 4,000 patah perkataan sehari. Tidak menghairankanlah jika wanita bercakap lebih banyak daripada lelaki kan? Hehe.


Imej: Carian Google


BUKU. ARTIKEL. MAJALAH.

Medium 2-dimensi  yang mengandungi tulisan mahupun gambar, warna dan perkataan. Menarik apabila mempunyai isi dan olahan yang baik. Menarik apabila pembaca mampu menghayati kandungannya. 

Mengandungi gambar. Menarik apabila gaya objek tersendiri dan cantik. Menarik apabila gambar itu jelas dan berwarna. 

Mengandungi perkataan. Menarik apabila disusun dengan teratur juga dengan pola ayat yang lengkap. Itulah indahnya penulisan.


Imej: Carian Google


VIDEO.  FILEM.

Medium 3-dimensi yang menggabungkan unsur bunyi, visual, pergerakan malah perkataan. 

Mengikut Prinsip Neuro-Linguistic Programming (NLP), gaya komunikasi melibatkan jenis visual (gambaran), auditori (bunyi, suara), kinestetik (pergerakan) dan auditori digital (logik). Setiap dari kita mempunyai gaya komunikasi  yang mendominasi diri dan gaya itulah yang memainkan peranan bagi komunikasi yang berkesan. 

Jika anda seorang yang dominan visual, komunikasi berbentuk gambaran, bayangan dan lukisan amat berkesan. 

Jika anda seorang yang dominan auditori, komunikasi berbentuk percakapan, bunyi, suara membantu anda untuk pantas memahami dan menyampaikan sesuatu perkara. 

Jika anda seorang yang kinestetik, komunikasi bersama anda adalah melalui pergerakan, hands-on, praktikal, dan turun padanglah yang terbaik.

Jika anda tergolong dalam gaya auditori digital, komunikasi anda perlulah logik dan anda fahami. Gaya komunikasi yang mana satukah anda?


Imej: Carian Google


Kuasa Video di mana? Pastilah pada LIHAT, DENGAR dan FAHAM.

:)


Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...