Monday 10 February 2014

Masa Kita Akan Tiba


Teks: ain akib

 
PELAJARAN

Satu pelajaran yang saya perolehi beberapa hari yang lepas.
Pelajaran yang menurunkan ego saya.


BUKA MATA

Saya berpeluang pulang ke kampung bertemu dengan bonda kepada abah saya iaitu Opah saya, :).

Sebelum ini, saya akan berbual dan melayani bicara Opah seperti biasa tetapi kali ini, saya tergerak hati untuk lebih memerhati. Bukan sekadar melihat tetapi memerhati dan meneliti karakternya bagi seorang yang sudah menjangkau 88 tahun di dunia ini. 

Ada beberapa perubahan yang saya sedari.

Tangkasnya tidak seperti dahulu.
Bicaranya tidak setepat dahulu.
Kepekaannya juga tidak seperti dahulu.
Bukanlah sesuatu yang baru tetapi agak nyata terasa kali ini.

Abah saya sedang menjaganya di kampung.
Dan,
Abah saya juga seorang yang sudah berusia.

Di kala umurnya 60-an, dia tegar melaksanakan tanggungjawabnya ke atas bondanya. Walaupun di bahunya masih terpikul dengan tanggungjawab ke atas isteri dan anak-anaknya.

Ini membuatkan saya terfikir...
Allah sedang menunjukkan kuasaNya. 

Ketika kecil kita bertatih mengenal dunia dan segala isi.
Ketika menginjak remaja, gelojak ingin tahu serba serbi memandu diri.
Ketika bergelar dewasa, kematangan dan logik di tahap yang tinggi.
Ketika menongkah usia tua, kita menjadi seakan kanak-kanak kembali.
Perlu diberi perhatian dan penjagaan.

Begitukah aku di hari tua nanti? 


Imej: Carian Google

Kita pasti melalui zaman tua itu jika Allah mentakdirkan kita mencecahnya.



MATA HATI

Mengimbas diri pada saat ini, muda dan bertenaga melakukan apa sahaja yang diingini.
Bergerak ke sana ke mari, meraikan nikmatnya sihat. 
Sehingga terkadang nikmat ini dipandang enteng dan diambil mudah.
We take for granted on little things we have.
Terkadang memandang rendah kepada insan yang kurang upaya dari kita, yang lemah dari kita.

Sedangkan betapa  perlunya kita berhenti sejenak dan melihat sekeliling.
Komponen yang membentuk diri kita.
Itulah insan-insan di sekeliling kita.

Yang kanak-kanak menguji kesabaran kita melatih mereka memahami peraturan duniawi dan ukhrawi.
Insan sebaya mengajar kita erti bertoleransi dan berkompromi.
Warga emas menagih sedikit belas kasih dan tanggungjawab daripada kita.


Imej: Carian Google

Hakikatnya, perilaku baik harus kita berikan pada semua insan.
Bukan atas dasar tanggungjawab semata, tetapi atas dasar inginkan rahmat kasih sayang Allah mengiringi kita.

Aku berbuat baik kepada anak kecil yang lemah ini kerana aku inginkan rahmatMu Ya Latif..
Aku berbuat baik kepada rakan sejawatku, majikanku kerana aku memerlukan kasihMu Ya Rahman..
Aku berbuat baik kepada yang tua kerana aku mendambakan sayangMu Ya Rahim...

Jadikanlah aku seorang hamba yang patuh padaMu, 
Menurunkan ego kerana kerdilnya aku disisiMu,
Ingatkanlah aku selalu tentang janji-janjiMu dan amaran-amaranMu,
Dan berikanlah aku kekuatan untuk meraih syurgaMu Ya Rabb..
Ameen..



No comments:

Post a Comment

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...