Tuesday 6 May 2014

Kuasa Emosi


Teks: ain akib
 
 
Alhamdulillah, hari ini berpeluang menjalani lagi satu hari yang bermakna.
Bermakna dalam erti kata produktif.
Satu-persatu target untuk hari ini dapat dilaksanakan walaupun mengambil masa yang agak panjang.


RESTAURANT IMPOSSIBLE

Saya berpeluang menonton sebentar rancangan Restaurant Impossible di rangkaian Astro. Telah beberapa kali saya menonton rancangan ini dan alhamdulillah saya dapat belajar sesuatu dan ingin saya kongsikan bersama di sini.


Imej: Carian Google


Rancangan ini seperti rancangan Home Makeover, Before and After (Jepun) di mana sebuah restoran milikan keluarga yang hampir muflis dipilih untuk diubahsuai dan diberi nafas baru secara keseluruhan. Dari segi dekorasi restoran, menu, dan pengurusan. 

Menariknya bagi saya ialah, sambil mereka merubah susunatur dan ketrampilan suasana restoran itu, mereka turut merubah (baca: membaiki) struktur dalaman yang selalunya menjadi punca utama kejatuhan bisnes restoran itu. Kebanyakannya adalah restoran milikan turun temurun dan kerapnya adalah bisnes bersama antara ibu bapa dengan anak.

Perkara yang membuatkan saya terharu ialah elemen kekeluargaan yang diketengahkan. Setelah berbelas dan puluhan tahun bisnes itu berjalan, hubungan antara ibu bapa dan anak adalah seperti orang asing. Kerap bergaduh, tidak bersetuju untuk melakukan perubahan, masing-masing dengan kepala masing-masing.


IT'S POSSIBLE

Pembawaan Chef Robert Irvine yang menyuluh setiap perkara dengan jelas, amat saya kagumi.

Jelas dan praktikal.

Contohnya, bagi mengenalpasti permasalahan utama yang dihadapi oleh restoran itu, Chef meletakkan beberapa bekas yang dibalut dengan kertas berwarna. Kemudian dilabel setiap satunya dengan label Pengurusan, Menu, Pelanggan, Ketepatan Waktu, Lokasi, Dapur, dan sebagainya. Setiap orang yang terlibat dalam operasi restoran itu, bermula dari bahagian pengurusan sehingga pelayan, termasuklah tukang masak, perlu memasukkan sebiji bola ke dalam setiap bekas yang dirasakan oleh mereka perlu dibaiki (baca: bermasalah). Ala-ala mengundi, :p

Setelah selesai semua orang mengundi, kertas pembalut dibuka dan bilangan bola yang mengisi bekas itu menunjukkan tahap kritikalnya bahagian itu.

Pengurusan mendapat longgokan bola yang terbanyak.

Bahagian pengurusan yang terdiri daripada Ayah dan Anak Lelakinya difokuskan.


KUASA EMOSI

Kerja rumah untuk mereka berdua adalah masing-masing menyenaraikan tanggungjawab mereka terhadap restoran itu untuk diteliti bersama keesokan harinya.

Penimbang berbakul disediakan dengan label Ayah dan Anak Lelaki dan setiap kali mereka masing-masing membaca tanggungjawab mereka, sebiji bola diletakkan di bakul masing-masing. Sambil itu, kedua-dua beranak itu mendengar tugas mereka dan agaknya bakul siapa yang akan berat ya?

Selaras dengan usia, idea dari Anak Lelaki menjadikan bakulnya jauh lebih berat daripada ayahnya. Dari situ, Chef menjelaskan masalah yang dihadapi mereka sambil melentur ego keduanya. 

Kemudian diteruskan dengan memasukkan unsur kesefahaman yang diperlukan untuk menaiktaraf bahagian pengurusan. Setelah keduanya jelas dan memahami situasi, mereka berjaya mencapai kata sepakat dalam pembahagian tugas seperti yang dicadangkan oleh Chef. Mereka tersenyum lega dan berjabat tangan, namun kelihatan seperti rakan sekerja, bukan seperti ayah dan anak.

Chef meminta mereka 'seal the deal' dengan cara ayah dan anak.

"Owh..", respon mereka berdua.

Dengan kaku dan teragak-agak pada mulanya, mereka mengangkat tangan dan berpelukan. Sambil menepuk belakang anaknya Si Ayah menyatakan, 

"I love you son. You know i always love you," 

Serentak dengan itu, pelukan mereka dikejapkan dan Si Ayah mengalirkan air mata.
Serasa sekian lama tidak mengucapkan rasa itu buat anaknya.

Si Anak mengangguk-angguk dan turut mengalirkan air mata tatkala ayahnya memecahkan tembok dinding antara mereka.

Sedih dan terharu. Saya turut menangis menontonnya kerana sedari awal rancangan jelas terlihat ketegangan antara mereka. Akhirnya dapat dibantu meleraikan segala kekusutan dan menjernihkan keadaan.

Allah... 

The Power of Emotion. 


Imej: Carian Google


Kemudian muncul Si Ibu dan turut bersama menitiskan air mata. Katanya,

"This is what I've been wanting to see for so long,"

Perubahan hati keduanya membina kembali kesatuan.
Jemaah dalam bahasa arabnya.
Kekuatan kesatuan ini lebih kuat berbanding dengan seorang diri.
Bermula dengan kesatuan emosi dan hati.

Kesimpulannya, dalam proses membaikpulih, bukan sahaja perlu dibaiki aspek luaran (bangunan restoran) sahaja, tetapi yang lebih penting adalah dibaiki aspek dalaman (operasi manusia) yang menjadi nadi bisnes itu sendiri.


Memetik kata-kata Mentor saya, Dr. Azizan Osman, 

"Kita berbisnes dengan hati orang,"

:)



1 comment:

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...