Teks: ain akib
Semuanya bermula dengan NIAT. Dikenali juga sebagai MATLAMAT atau OBJEKTIF. Bagaimana nak tahu matlamat anda membina video?
Mulakan dengan bertanyakan diri anda dengan soalan MENGAPA. WHY? Tanya berulang kali sehingga anda berpuas hati dengan jawapan anda. Jangan berhenti selagi anda belum capai ke dasarnya.
Mulakan.
Mengapa anda ingin bina video ini?
Kerana saya ingin mempromosikan bisnes.
Mengapa anda ingin mempromosikan bisnes anda?
Kerana saya hendak orang ramai tahu akan kewujudan produk saya dan membelinya.
Mengapa anda ingin orang ramai membelinya?
Kerana saya mahu orang ramai memiliki dan menggunakannya.
Mengapa anda ingin orang ramai menggunakannya?
Kerana produk saya ini bagus.
Mengapa anda katakan produk anda bagus?
Kerana produk saya boleh membaiki kehidupan orang lain supaya lebih selesa dan menjimatkan masa mereka.
Mengapa anda mahu menjadikan kehidupan orang lain selesa?
Kerana saya percaya apabila orang lain selesa ini akan membaiki kualiti hidup mereka seperti apa yang telah saya rasakan.
Mengapa anda ingin orang lain rasa apa yang anda rasakan?
Kerana kita hidup di muka bumi ini adalah untuk saling kenal-mengenal dan saling bantu-membantu.
Bukankah itu yang Allah perintahkan dalam Surah Al Hujurat (13), "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)...."
Nah.
Jika anda berjaya temui jawapan akhir anda yang membawa anda kembali kepada mengingatiNya, itu adalah sesuatu yang sangat indah kerana tidak lain tidak bukan itulah hakikat kejadian kita.
Sejauh mana kita pergi, sebagus mana jawatan kita, kita tetap perlukanNya yang satu, kembali padaNya yang mencipta kita dan alam ini, Ya Bari (Maha Menjadikan). Akan lebih yakinlah anda bahawa membina video ini bukanlah sesuatu yang sia-sia, malah boleh mendekatkan diri padaNya! Subhanallah! Allah suka!
Imej: Carian Google |
Cop.
Sebentar.
Kenapa perlu fikir sedalam tu? Menyusahkan. Video je kot.
Ya. Ia hanyalah sebuah video. Bukan benda baru yang pelik. Hari-hari kita dapat tonton video di facebook, youtube, dan televisyen. Ini kan perkara biasa? Biasa pada kita. Biasa pada masyarakat. Tetapi, adakah yang biasa itu benar? Benar pada pandangan kita tetapi benarkah pada pandangan Allah?
Bila kita mulakan sesuatu dengan niat yang menjadi punca kita meraih redha Allah, maka kita teruskan langkah yang seterusnya!
Masih panjang langkah kita tetapi sepanjang masa harus sentiasa meminta padaNya agar niat kita terjaga, tidak terpesong. Doakan langkah kita dibimbingNya kerana kita perlu padaNya setiap masa, Ya Waliy (Maha Pelindung).
Cara ini juga boleh diaplikasikan setiap kali kita ingin menetapkan matlamat kita berbuat sesuatu perkara, malah tidak rugi!
Lebih mendalam kita menyelami WHY, kita akan lebih faham tentang tujuan sebenar kita. Kejelasan ini akan sentiasa mengingatkan kita MENGAPA kita melakukan perkara ini dan ini akan menjadi penguat semangat ketika kita diuji dengan rintangan.
Matlamat saya menceburkan diri dalam dunia video ini bermula kerana minat. Saya berasa puas hati dapat menghasilkan sesuatu yang dapat saya kongsi bersama dengan ahli keluarga saya. Bermula dengan minat inilah, saya belajar sedikit demi sedikit secara sendiri dan apabila melihat respon orang yang menontonnya, gembira yang saya rasakan tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
Perkongsian rasa dan emosi inilah medium yang saya kira saya berupaya untuk membawa orang lain kepada kegembiraan. Kegembiraan yang kita suka dan paling penting Allah juga suka, insyaAllah. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan passion ini, moga Engkau redha.
Untung.
Tidak Rugi!
:)
No comments:
Post a Comment