Tuesday, 23 July 2013

Perginya Bertemu Cinta Sejati


Teks: ain akib


Imej: Opah


Dia sudah lebih dari tiga suku abad. Kakinya sudah terangkat perlahan tiap kali melangkah, sudah tidak mampu berjalan jauh. Tongkat berkaki empat menjadi teman setia. Penyabar. Ya, seorang  yang cukup sabar melayani kerenah kanak-kanak yang degil dan biut (loghat perak). Inilah arwah Opah yang duduk bersama membesarkan kami adik-beradik. Sejak arwah Tok meninggal pada tahun saya dilahirkan, Opah menetap bersama kami di Gombak.

Mengimbau waktu zaman sekolah dahulu, waktu paling ribut adalah ketika waktu bersiap hendak ke sekolah. Tak jumpa stokin, Opah yang ditanya, tak jumpa botol air, Opah juga yang ditanya, berkejar sebab takut kena tinggal dengan bas sekolah. Di dapur dialah juga gurunya, sangat mudah menjadi pembantunya sambil belajar resepi gulai dan lauk-pauk. "Lepas ni buat apa Opah?" soalan yang lazim ditanya.

Kegemarannya adalah menonton berita dan membaca suratkhabar. Satu sifat yang saya kagum tapi masih belum dapat dipraktikkan. Opah selalu pesan belajar rajin-rajin dan jangan sepahkan rumah. Apabila waktu solat jemaah Maghrib dan 'Isya, Opah selaku Makmum Utama (gelaran yang kami beri) mesti ada, baru boleh mula solat. Kebanyakan masa Opah akan solat duduk menggunakan kerusi kecil kami. Waktu sebelum atau selepas solat adalah waktu kritikal kami bergurau senda sesama sendiri memandangkan semuanya perempuan melainkan Tok Imam, sampai yang tak lawak pun jadi lawak, hehe.
 
Pertengahan Julai 2010, Opah ditahan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana sakit di bahagian jantungnya. Beberapa hari sebelum itu, Opah tiba-tiba menyatakan hasrat ingin pergi berjalan ke Pulau Pinang memandangkan saya masih berada di sana ketika itu. Adik saya Teh Jawahir membawanya dan menetap di sana beberapa hari. Sempat juga kami pergi melawat adik bongsu saya, Thuraiya yang belajar di Merbok, Kedah. Pada hari Opah pulang ke Ipoh, sakit di bahagian dadanya semakin menjadi dan pada hari itulah terus dibawa ke IJN.

Kami anak-beranak dan cucu-cucunya bergilir menjaga Opah di IJN. Hujung minggu itu sempat saya dan sepupu saya Suhaila bermalam di ruang menunggu di sana, memantau perkembangan Opah. Jantungnya masih lemah walaupun tidak kritikal. Kembalinya saya ke Pulau Pinang dalam keadaan risau dan saya berdoa saya tidak mendapat sebarang panggilan telefon mengejut daripada ahli keluarga.


23 Julai 2010. Jumaat. 
Pada hari ini saya dijadualkan berprogram bersama adik-adik SMK Convent Pulau Tikus yang bermula pada petang harinya. Segala persiapan telah dibuat bersama sahabat-sahabat dari Kelab Remaja Lestari (KRL). Namun, seawal jam 5 pagi telefon saya berbunyi. Tertera nama MAK. Terus jantung berdebar laju walaupun baru sahaja tersedar dari tidur. Saya angkat dan Mak hanya diam seketika. "Enn... Opah..." kata Mak akhirnya. "Kenapa dengan Opah?" laju saya bertanya. Mak diam lagi dan menyambung dalam sebak, "Opah dah tak ada..." sambil teresak-esak. "Hah? Bila?" saya bertanya lagi, masih terkejut dan blur. Mak menjawab, "Kejap ni tadi...". Lafaz Innalillah terlafaz perlahan di bibir dan air mata terus mengalir laju.

Allahurabbi.
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Al-Baqarah (156). 

Menjangka diri ini bersedia menerima khabar itu, rupanya masih sangat rapuh persediaannya. Insan yang menjaga dan mengasuh diri ini dari kecil, menyuap makan, melayan kerenah yang bermacam-macam telah pergi selamanya. Pernah diri ini membuatkan dia ketawa, menangis, marah, suka dan sedih. :'( Pesan terakhir Opah semasa dia di IJN, kebumikan dia bersama arwah Tokcik di Ipoh.

Saya pulang ke Ipoh menaiki bas dan terpaksa meninggalkan urusan berprogram kepada sahabat-sahabat. Terima kasih kerana memahami sahabat-sahabat. Sewaktu dalam bas, Allah memberikan ketenangan yang luarbiasa melalui sahabat baik saya Nurulhuda Sanusi. Kata-katanya amat menenangkan sekaligus menjadi tajuk kepada entri ini,

"Jangan sedih Ain, Opah Ain pergi jumpa cinta sejati, :)"

Allahuakbar. 

"...Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."
Ar-Ra'd (28). 

Dalam sedih saya masih mampu mengukir senyuman tatkala membaca kiriman SMS itu. Itu janjiNya. Terima kasih ya Allah. Terima kasih Huda. :)

Selesai jenazah dimandikan, saudara-mara di KL yang tidak sempat untuk pulang ke Ipoh, sempat menunaikan solat jenazah di IJN. Jenazah selamat tiba di Ipoh sebelum Zohor. Solat jenazah di sini disertai oleh jemaah yang usai solat jumaat. Moga ramainya bilangan jemaah ini menambah doa dan rahmat buatnya. Subhanallah, hadiah daripada Allah buat Opah.


Imej: Persemadian


Ya Allah, Engkau santunilah arwah Opah di sana.
Ya Mujeeb, Engkau tempatkanlah arwah Opah bersama golongan yang Engkau cintai.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pemberi Nikmat dan Penjaga.
Ameen, ya robbal 'alamin.


Al-Fatihah.

2 comments:

  1. sedihnya. :'( sabar k, opah umi lagi bahagia di sana. *hugs*

    ReplyDelete

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...