Teks: ain akib
SASARAN SEORANG PEMBURU
Sasaran adalah target.
Apabila dilihat dari kacamata seorang pemburu yang mempunyai selaras senapang, pasti ada arah tuju tembakan supaya pelurunya tepat mengena sasaran. Jika tidak, target yang diingini tidak dapat, peluru pula habis kebaziran.
Sasaran akan menjadi lebih mencabar bilamana sasaran adalah benda hidup. Seperti pemburu tadi, sasarannya adalah haiwan, makhluk hidup yang dijadikan Allah SWT bergerak bebas di atas muka bumi ini. Maka, apa yang perlu dibuat oleh si pemburu ialah membuat persiapan sebelum bertindak keluar berburu. Persiapan yang bagaimanakah apabila melibatkan sasaran ini?
Tentulah persiapan mengenai hal ehwal haiwan yang ingin diburu itu. Contohnya rusa. Perihal dan latarbelakang rusa akan cuba dipelajari, termasuklah:
- Tempat di mana kelompok mereka sering berada
- Gaya hidup dan aktiviti seharian
- Jenis makanan yang dimakan
- Perilaku dan habit
- Mangsa mereka
- Kekuatan dan kelemahan dan banyak lagi
Di sini, peranan ILMU amat penting. Dengan ilmulah, kita akan berfikir, merancang dan bertindak.
Nak dapatkan hasil perlu ada sasaran.
Nak kenal sasaran perlu ada ilmu.
Nak dapat ilmu perlu belajar mencari dan bertanya.
Yang paling glamour saat ini adalah Pakcik Google, :p.
Namun awas, kita harus memakai penapis (filter) ketika bergoogle iaitu dengan menapis sumber rujukan dan merujuk pada yang ahli (pakar) dalam bidang tersebut. Yang terbaik antara yang baik adalah belajar sesuatu ilmu itu melalui guru.
Imej: Carian Google |
SASARAN VIDEO
Baik.
Sasaran dalam video pula?
Sasarannya adalah penerima mesej kita. Sasarannya adalah manusia. Makhluk yang bernama manusia juga dikenali sebagai insan, dihiasi dengan berbagai ragam. Amat memerlukan kepada persediaan kerana uniknya insan ini, dianugerahkan Allah SWT dengan kurniaan yang terbaik iaitu IMAN dan AKAL. Maka, pandulah fikiran, emosi, rancangan dan tindakan berdasarkan dua kacamata ini.
Semakin kecil kelompok sasaran, semakin mudah persediaan yang perlu dilakukan.
Wujudkan persoalan demi persoalan, teruskan membina WHY agar kita akan lebih jelas untuk mencapai sasaran.
Contohnya, sasaran kita adalah belia remaja.
Pertama : Kenali latarbelakangnya
- Trend gaya hidup
- Suasana persekitaran yang bagaimana
- Lingkungan umur
Kedua : Kaji kesukaannya dan ketidakgemarannya
- Gaya yang disenangi
- Makanan dan minuman
- Idola (artis/ilmuwan)
- Sebarang fenomena yang melanda pada ketika itu
- Bahasa yang digunapakai
Ketiga : Rancang strategi berdasarkan dua perkara di atas
- Gunakan pendekatan yang mesra alam yang boleh diterima kelompok sasaran
- Banyakkan penggunaan bahasa atau terma yang biasa digunakan sasaran agar mereka lebih selesa dan merasa dekat dengan penyampaian
- Sampaikan maklumat dengan tepat dan mudah
- Panjang video memadai dengan target pencapaian yang diingini (tidak meleret)
KEGEMARAN SASARAN
Antara ciri-ciri video yang digemari penonton adalah yang ringkas, bersesuaian penggunaan isi dan penyampaian, muzik atau bunyi yang sesuai, flow yang mudah difahami, mempunyai pergerakan dan banyak lagi yang akan saya sentuh pada entri yang lain, insyaAllah.
Bayangkan sahaja kita sendiri sebagai penonton sasaran, video yang bagaimanakah yang kita suka?
Mudah bukan?
FAHAMI SASARAN
Ini amat penting bagi melahirkan suatu video yang mempunyai unsur 'hidup'. Jiwa yang memahami ini akan memberi satu nilai tambah yang bakal membuatkan sasaran bukan sahaja menonton video itu, malah 'merasai'nya juga. Inilah satu nilai yang dapat memberi impak kepada sasaran kerana hati yang merasai akan lebih terkesan, insyaAllah.
Langkah-langkah di atas adalah rujukan buat kita sama-sama mengenali dan memahami apa yang ingin kita sampaikan. Tiada yang sia-sia dalam hidup ini jika kita memilih untuk buat yang terbaik, usaha yang terbaik dan beri yang terbaik! Sesungguhnya orang Mukmin itu Allah jadikan dengan IMAN dalam hati dan AKAL. Pandulah kedua ini sebaiknya, insyaAllah tiada istilah kecewa mahupun putus asa. :)
Memberi yang terbaik bakal menarik juga yang baik-baik, insyaAllah.
Kenali sasaran,
Amati kesukaan,
Hasilkan tindakan!
:)
No comments:
Post a Comment