Tuesday 24 December 2013

Menyantuni Rezeki Makanan


Teks: ain akib

MAKANAN


Imej: Carian Google

Seringkali makanan itu dikatakan adalah rezeki. Benar. Nikmat yang dikurniakan pada kita adalah rezeki. Tafsiran yang lebih tepat mengenai rezeki adalah apa jua perkara yang datang pada kita yang bermanfaat. Itulah rezeki.

Alhamdulillah, negara kita dikategorikan sebagai negara yang mewah dengan makanan. Ke mana sahaja mata ini mendarat, pasti akan berjumpa dengan kedai makanan mahupun gerai. Alhamdulillah, rezeki makanan melimpah ruah di Malaysia.


SANTUNI MAKANAN

Kita bekerja untuk mendapatkan wang. Wang digunakan untuk membeli makanan untuk mendapat tenaga. Pernah atau tidak kita fikir tentang makanan yang kita perolehi dan bagaimana adab kita terhadap makanan itu?

'Makanan di hadapan mata. Makan sahajalah. Mahu fikir apa lagi?'

Menyantuni makanan juga mampu menarik lagi rezeki lain selepas itu.
Percaya atau tidak?

Imej: Carian Google

Saya ambil satu contoh mudah.

Ketika berpeluang makan secara buffet, di kenduri-kendara, hotel dan sebagainya. 
Kita mempunyai pilihan untuk mengambil apa jua jenis makanan untuk diletakkan ke dalam pinggan kita. 
Pilihan atas diri kita. 
Pilihlah.

Pilihlah berdasarkan apa yang diajar oleh Nabi kita, hikmah kebaikannya amat banyak dan berpahala.

  • Ambil makanan yang sedang cukup untuk diri kita 

Mudah bukan?
Tetapi ramai yang kalah pada nafsu.

'Eh, tak pernah rasa yang ni. Ambillah,'
'Laparnya. Aku nak makan kenyang-kenyang,'

Kesannya, menimbun makanan dalam pinggan. Jika dapat dihabiskan dengan jayanya, alangkah indahnya, alhamdulillah. Berpahala. Sisa makanan di jam 11 pinggan dengan sudu garfu terbuka rapat di jam 6 pinggan (etika makan) atau jari dijilat untuk mengaktifkan enzim penghadaman yang terdapat di jari (sunnah Nabi).  Alhamdulillah.

Namun, jika ditinggalkan saki-baki makanan yang masih elok, pembaziran berlaku. Musuh Allah (baca: syaitan) yang sukakan pembaziran. Rezeki yang ada di hadapan mata dibazirkan, bagaimana ingin memiliki barakah rezeki? Bagaimana ingin menarik dan menjemput rezeki lain lagi selepas ini jika yang telah Allah kurniakan  kita sia-siakan?

Ibarat kanak-kanak yang belajar berbasikal bermula dengan roda tiga. Apabila sudah pandai mengurus diri menggunakan basikal beroda tiga, diyakini kemahirannya, barulah keluarganya yakin untuk memberinya belajar basikal beroda dua. Upgrade kepada yang lebih baik.

Kita pula?
Pengurusan rezeki kita?
Adakah kerana pengurusan makanan kita yang secara suka hati menjadi punca Allah menahan rezeki yang seterusnya? Kecuaian kita untuk mengurus dengan baik rezeki pemberianNya tidak melayakkan kita untuk menerima yang seterusnya. Na'uzubillah.

Waima kita memasak.
Bahan yang kita gunakan, membazirkah? Masih ada separuh cili merah. Dibuang teruskah walaupun masih elok? Atau disimpan semula untuk kegunaan masakan seterusnya?

Perilaku kita adalah contoh dan tauladan kepada yang melihat. Ahli keluarga, anak-anak, pasangan dan sesiapa sahaja.

Imej: Carian Google


BINA PERIBADI ANAK WAKTU MAKAN

Saya kongsikan sedikit ilmu yang saya pernah kongsikan di mukabuku saya sebelum ini. Daripada Ustaz Nasir.

Ibu bapa disarankan agar menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak.

Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup.

Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak pada waktu makan:

 
1. Tunggu orang yang paling tua

Kalau ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakan oleh ayah.
Kalau tidak ada ayah, emak dahulu.

Rahsia di sebaliknya, bila dikekalkan begitu selama tiga bulan, akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan kita.
Jadi kalau kita hendak tahu macam mana anak kita di luar pandangan kita, tengok waktu makannya.

 
2. Baca Bismillah dan guna tangan kanan

Anak kita tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya.
Yang biasa dia ambil masuk ke mulut dengan nama Allah dan biasa memegang yang halal dengan tangan kanan.
Melalui amalan yang mudah ini, roh kita dimonitor oleh syariat.
Amalan ini tak perlu pada tenaga dan wang ringgit yang banyak tapi perlu pada kesabaran dan istiqamah.

 
3. Ambil lauk terdekat dulu

Bagi cubitan lauk yang pertama, ambil yang paling dekat.

Kenapa?

Melatih sabar.

Kali kedua jika hendak ambil yang jauh tak mengapa, itu dikira usaha ikhtiar untuk dapat yang lebih baik.
Ia mempengaruhi corak kehidupan dan corak kita bekerja.
Kalau ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk yang pertama letak di pinggan anak.
Memang anak akan rasa lain.
Kalau dia tak mahu lauk itu tak mengapa tapi kita memberi tu yang mustahak.
Kalau kita buat macam itu, dia juga akan jadi macam itu pada orang lain.
Kita sudah bina masyarakat penyayang di dalam rumah kita. 
Malah untuk latih anak cinta pada saudaranya yang lain, itulah waktunya.

 
4. Kawal suapan

Bila ambil makanan untuk suap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi di dalam mulut itu belum ditelan.
Sesudah ditelan, baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut.

Untuk apa?

Melatih jangan tamak dan bersifat qanaah
Mencukupi apa yang ada.
Atau lebih tepat, melatih syukur terhadap apa yang Allah kurniakan.
Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri.

Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia mempengaruhi roh.


5.  Makan sehingga habis

Ibu bapa atau orang yang lebih tua menunjukkan contoh makan di hadapan anak-anak dengan makan sehingga habis apa yang ada di dalam pinggan. Bermula dengan mengambil makanan secukup yang mampu dimakan, tidak berlebihan.

Anak-anak akan memerhati dan lama-kelamaan akan menjadi habit mereka juga.


Pernah saya melihat arwah Ayah Ngah saya makan di meja makan. Arwah merupakan seorang yang soft-spoken, manis raut wajahnya dan sentiasan tersenyum. Melihatkan cara arwah makan di meja makan, saya masih ingat hingga ke saat ini dan menjadi tauladan kepada diri saya. Tulang-belulang ikan itu dibersihkan sebaiknya hingga tiada sisa yang dibazirkan. Begitu cermat dan beradabnya arwah terhadap rezeki makanan. Allah...


Imej: Carian Google

Apabila menulis ini semua, ia menjadi peringatan juga buat diri saya. Semoga apa yang dikongsikan di sini bermanfaat dan sama-sama kita cuba praktikkan, biiznillah. 

:)


No comments:

Post a Comment

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...