Tuesday, 10 December 2013

Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (I)


Teks: ain akib

الحمد للة

Imej: FB Intensif Terapi eHati 2.0

Allah izinkan saya untuk bersama dengan rakan-rakan baru dan lama dalam Intensif Terapi eHati 2.0. Bertempat di Thel Regency Hotel, Kuala Lumpur dari 29 November sehingga 1 Disember 2013 yang lalu.

Terima kasih Ya Allah, :)

Saya kongsikan serba sedikit apa yang saya perolehi dari program istimewa ini. :)


SAYA SERONOK

Saya seronok menemui beberapa ilmu baru yang banyak menjelaskan beberapa perkara tentang diri kita. Antaranya:
  • Mengapa sikap kita sebegini rupa
  • Apa yang mendorong kita melakukan sesuatu itu
  • Tindakan kita didahului dengan apa yang kita mahukan
  • Rasa kita sering dipandu oleh apa yang terbentuk dalam diri kita sekian lama

Benar.
Walaupun cuba dinafikan tetapi ia tetap benar. It's the cold truth.

Kadang-kadang, sikap dan rasa itu sesuai dan betul.
Terkadang-kadang juga ia menjauhkan kita dari merasa bahagia.

'Betul dah apa yang aku buat tapi kenapa aku rasa serba tak kena ya?'

Berlegar-legar rasa tidak selesa dan tidak sedap hati.
Rasa bersalah dan kurang yakin bermain di hati.


HAKIKATNYA

Bila ditanya pada akal, akal akan mencari MAKNA.
Makna akan membimbing kita mencari yang logik dan realistik.
Tetapi,
Bila ditanya pada hati, hati akan mencari RASA.
Rasa yang fitrah akan memandu kita mencari jalan yang perlu ditempuhi.
Bukan hanya rasa yang sesedap rasa, ;)

Seringkali perkara buruk dan kurang kita senangi datang menjengah dalam kehidupan. Kita gelarnya ujian. Respon kita terhadap perkara itu, adakah selari dengan fitrah kita sebagai manusia?


FITRAH. HUKUM ALAM.

Ibarat air sungai. Fitrahnya adalah mengalir terus mengikut haluannya. Tidak berpatah balik. Sungai bahagia menjadi sungai kerana ia mengikut fitrahnya. Fitrah, kejadian Allah yang terbaik yang ditetapkanNya.

Manusia?


Manusia fitrahnya akan meningkat dewasa dan tua jika masih panjang umurnya. Tidak berpatah balik usia itu.



Imej: Carian Google
 
Hukum alam itu indah dan membahagiakan.

Sungai bahagia menjadi sungai.
Burung bahagia menjadi burung.
Pepohon bahagia menjadi pepohon.

Semuanya bahagia dan menenangkan. 

Itulah sebab manusia kembali mencari alam untuk ketenangan.
Deruan air terjun yang menyegarkan.
Bunyi cengkerik dan unggas yang mendamaikan.
Hempasan ombak yang lembut menenteramkan.

Semua itu patuh menurut hukum alam.

Begitu juga manusia.
Bahagia apabila menuruti hukum alam. Fitrah.
Fitrahnya kembali pada Pencipta.

Terima kasih ya Allah, :)

 
KEMBALI KEPADA FITRAH



Imej: Carian Google

Ibarat sungai itu tadi. Ia masih didatangi ujian. Ujian dilempari dengan sampah daripada manusia. Ujian dimuatkan dengan sampan daripada manusia untuk berulang alik. Ujian dilimpahi dengan hujan lebat sehingga membanjiri kawasan sekitarnya dan kemudian surut kembali seperti biasa. Itu semua ujian yang Allah berikan dan sungai tetap mengikut fitrahnya, ia tetap mengalir. Tidak benci menjadi sungai. Sungai menerima segala ujian itu dan menjalani ujian itu dengan cara terbaik.

Kita?
Sama juga kita manusia.
Fitrahnya akan didatangi ujian. 
Kawalan minda mampu mendepani ujian.
Tetapi kawalan rasa amat menentukan kesannya.

Rasa akan menetapkan hati pada perlunya kita pada Pencipta.

 
Imej: Carian Google

Ujian diberikan kejayaan demi kejayaan, alhamdulillah. Terima dengan gembira dan bahagia. 

Ujian kesukaran dalam kerjaya, alhamdulillah. Ikutkan logik akal, teruskan usaha, lupakan kisah silam. Perlakuan boleh terus mengejar kejayaan, namun, rasa sakit, marah, dianiaya dan putus asa tetap bersarang dalam jiwa. Akui rasa itu, nafikan tidak. Terima kehadiran semua rasa itu. Perlahan-lahan lepaskan semua rasa itu. Lakukan dengan terbaik. Izinkan ia pergi dan mohon Allah gantikan rasa yang terbaik.

Terima kasih ya Allah, :)

Ujian pemergian orang yang tersayang, alhamdulillah. Rasa sedih, hilang tempat bergantung. Akui rasa itu, terima rasa itu. Lepaskan ia. Izinkan Allah mengatur hati itu. Dia tahu yang terbaik bagi hambaNya. Detik melepaskan itulah yang akan mengundang bahagia semula dalam kehidupan. Selagimana kita tidak melepaskan, ia akan menjadi toksik dalam diri dan menghalang bahagia dari datang menyinggah.

Terima kasih ya Allah, :)

Hebatnya akal, alhamdulillah, satu bonus daripada Ya Khaliq.
Hebatnya kawalan RASA yakni kawalan HATI, alhamdulillah. 
Menjana bahagia dan cinta dari Pencipta.


eHATI

Suasana dan rasa yang dialami ketika berada di dalam program istimewa ini tidak dapat saya terjemahkan dalam kata-kata. Pembawaan Sifu saya, Puan Diyana Tahir, bersama Puan Zuvina Ali, hanya yang berada di sana akan dapat merasainya. Yang mampu saya kongsikan di sini adalah perkongsian yang dapat dicerna akal. 

Beruntunglah bagi hati dan jiwa yang dapat menyelaminya, :)
Alhamdulillah.

Saya akan kongsikan lagi buah ilmu dari program istimewa ini dalam entri yang seterusnya juga, insyaAllah.


Pada hati yang jernih, ia bisa memaknai setiap sisi indah.

:)

Entri seterusnya : Review: INTENSIF TERAPI eHati 2.0 (II)



No comments:

Post a Comment

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...