Teks: ain akib
ADIK MANIS 1
"Adik manis!" panggil abang berbangsa Bangladesh yang menjinjing karpet untuk dijual sambil tersenyum.
Respon si gadis hanya dengan tersenyum simpul kembali, kemerahan wajahnya.
'Aduhai. Aku janggal dipuji manis seperti gula!' :)
Imej: Carian Google |
ADIK MANIS 2
Di sebuah stesen minyak pula, atendan pam minyak lebih dahulu tiba di kereta sebelum sempat si gadis melangkah keluar dari keretanya.
"Mahu isi berapa adik?" tanyanya sambil tersenyum lebar.
"50 ya," jawapan mendatar diberikan.
Masih kekal dengan senyuman tadi, "Ok adik," jawabnya.
Sambil menanti minyak diisi ke dalam tangki kereta, dia meneruskan perbualan, kelihatan tidak mahu melepaskan peluang untuk berbual dengan cik adik manis. "Puasakah ini hari?" tanyanya.
Tidak tahu untuk bereaksi bagaimana, "Err..haa..ya, puasa," jawab si gadis.
Dalam hati 'Ramahnya. Meh aku tanya dia pula', "Awak puasa tak?" sambil mengangkat kening.
Dengan senyuman yang masih tertampal di wajahnya dia menjawab, "Saya mana puasa, saya bukan orang sini,".
"Awak orang mana?" tanya si gadis, sedikit pelik kerana wajahnya kelihatan kemelayuan.
"Saya orang Myanmar," beritahunya.
"Ohh.." jawab si gadis sambil terangguk-angguk.
Pantas disambung jejaka itu dengan nada perlahan dan diiringi ketawa kecil, "Tunggulah saya kahwin orang sini, nanti saya puasa,". Malu-malu kucing sahaja rentaknya.
'Ehhhh?? Betul ke tidak apa yang aku dengar ni?' monolog si gadis.
UHH..OHH..
Pernah alami atau melihat situasi di atas ini?
Agaknya apa yang berlaku seterusnya?
Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran?
Fikiran yang biasa-biasa akan berkata begini:
'Eiii. Gatalnya dia ni. Nak kahwin dengan orang sini, nak dapatkan kerakyatan negara ni lah tu. Mesti macam tu. Ingat senang ke nak dapat label warganegara tu, huh,'.
Sarang bersangka-sangka makin melebar dan menggelapkan hati. Penat otak bekerja mengerah sebab musabab yang meletakkan diri orang itu di paras bawah, perasaan dengki dan berasa diri sendiri lebih bagus bermaharajalela.
Fikiran yang sedikit luarbiasa pula:
'Ohh. Bagusnya. Dia ada niat nak puasa, mendalami Islam, alhamdulillah. Tak kisahlah dia hendak kahwin dengan orang sini pun, sekurang-kurangnya dia bermatlamat dan akan bertambah umat Muhammad lagi. Moga Allah beri hidayah pada dia, ameen,'.
Sedikit sahaja beza iaitu diberi sedikit pengharapan bersandarkan agama dan dipanjatkan doa berpaksikan Ilahi. Bukankah lebih baik dan mudah? Tidak mustahil dan bukan retorik jika Allah berkemahuan hati itu berada dalam pegangan rahmat kasih sayangNya.
LALU LINTAS HATI
Lintasan awal selalunya lahir dari didikan yang diterima oleh hati. Persepsi awal itu menggambarkan keadaan jiwa; yang indah dengan sifat mahmudah ataupun terpalit comot dengan unsur mazmumah.
Percayalah, berbaik sangka adalah muzik jiwa dan fitrah asal manusia. Persekitaran berperanan menyumbang ke arah pembentukan jiwa dan di sini peranan persekitaran berjemaah itu berkuasa mendidik dan membentuk.
Kita telah sedia maklum kekuatan hakiki adalah dari kumpulan yang terdiri dari banyak orang berbanding seorang diri. Begitulah pentingnya MENCARI dan MENEMPATKAN diri dalam kelompok yang membina. Persekitaran yang korup harus pantas disedari dan agamalah yang akan membimbing kembali kepada fitrah manakala persekitaran yang cantik pekerti dan sopan bahasa diselarikan dengan percubaan meraih cintaNya.
Imej: Carian Google |
Cuba praktikkan sehari sahaja dengan bersangka baik pada semua perkara yang berlaku pada kita dan yang terjadi di sekeliling kita. Apa yang dapat dirasakan?
Tonton berita, bersangka baik;
'Mungkin mereka masih tidak menyedari kebenaran yang nyata di depan mata dan masih kabur dengan ujian nikmat' berbanding 'Memang mereka begitu, tak berubah langsung. Dari dahulu sampai sekarang berperangai sama sahaja'.
Lihat jiran sebelah, bersangka baik;
'Mereka mengalami salah faham dan sedang cuba diselesaikan, Ya Allah, bantulah mereka, hanya Engkau yang mampu membantu mereka' berbanding 'Ya Allah, bising lagi. Teruklah mereka ni, ingat mereka sahajalah yang bermasalah sampai satu kampung pun tahu. Bukan nak mengata ke apa tapi anak mereka yang seorang tu.....'.
Lihat kemalangan, bersangka baik;
'Allah.. Engkau selamatkanlah pemandu dan penumpang-penumpang dalam kenderaan itu. Mungkin pemandunya terlelap sebentar kerana terlalu mengantuk yang tidak dapat ditahan. Peliharalah mereka Ya Allah' berbanding 'Ha, tu tak lain tak bukan mengantuklah tu. Dah tahu mengantuk bukan nak berhenti rehat ke apa. Ni dah jadi macam ini mulalah menyusahkan orang, jem lah, apa lah. Orang nak cepat pun jadi lambat...'.
KESAN DAN PESAN
Terang lagi bersuluh bahawa bersangka baik itu menenangkan jiwa, menstabilkan emosi, mengawal diri dari membuka aib, meletakkan pergantungan pada Dia yang satu dan kembali pada mengakui kuasa Maha Pencipta.
Apabila sebaliknya, jiwa menjadi gelisah, emosi berombak, satu demi satu aib dibuka, meletakkan diri sebagai tahu segala sebab dan punca berlaku tanpa menyelidiki kisah yang sebenar. Penat yang diperoleh dan ini berupaya merosotkan kualiti iman. Jangan sampai sehingga menggugat akidah kerana sikap yang suka cakap lepas, itu bahananya.
Perkara BIASA yang kelihatan juga BIASA namun jika dibiarkan berleluasa bakal memakan diri kelak. Fitrah manusia adalah perlu pada peraturan, perlu ada sempadan yang menjaga, bukan menghalang.
Sedangkan jalanraya pun mempunyai peraturan untuk menjaga keselamatan penggunanya, masakan Allah akan membiarkan ciptaanNya bebas tanpa panduan? Sifatnya Ya Salam (Maha Penyelamat) memberi keselamatan pada sekelian makhluknya. Terbukti dengan akhlak yang dibawa oleh kekasihNya, Muhammad SAW dan kitabNya, Al-Quranul karim.
Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) memilih kita berada dalam naungan rahmatNya.
Syukur Ya Allah, Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan sekeping hati yang lembut dan tunduk pada arahanMu. Jangan Engkau keraskan hati ini kerana jiwa yang keras itu adalah jiwa yang jauh dariMu, jauh dari rahmatMu. Izinkan diri ini melaksanakan janji yang diucap saban hari,
اِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي ِﷲِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam"
Imej: Carian Google |
Izinkan aku menterjemahkannya dalam lintasan hati, fikiran, lisan dan perlakuanku Ya Allah.
Ya Mujeeb, Engkau perkenankanlah.
Ameen.
:)
No comments:
Post a Comment