Thursday 5 December 2013

Peringatan Yang Pasti Menemui


Teks: ain akib


YANG PASTI

Peringatan demi peringatan menjengah acapkali tanpa kita sedari. Peringatan ini adalah peringatan yang paling ketara dapat meredakan semua keadaan. Bilamana intipati hikmah peringatan itu diambil. Peringatan yang membawa kepada suatu kesedaran.


Kesedaran semula bahawa kita ini milik Pencipta.
Dia Ya Khaliq (Yang Maha Pencipta)
Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, semua adalah milikNya.
Dia Malikul-Mulk (Pemilik Kerajaan)
Segenap rasa yang kita miliki ini juga adalah milikNya.
Dia Al Kabir (Yang Maha Besar)


Peringatan tentang nyawa ini kembali kepada Pemiliknya.
Dia Ya Mumit (Maha Mematikan). 

Peringatan tentang mati. Panggilan Ilahi tidak diketahui waktunya. Disampaikan peringatan kepada kita yang masih hidup ini melalui pemergian orang-orang di sekeliling kita.


KISAH ANAK KUCING

Peringatan yang sama saya dapati semalam. Ketika sedang memandu, kereta saya berhenti seketika apabila lampu isyarat berwarna merah. Menjengah ke kanan jalan, di jalan yang bertentangan arah trafiknya, saya terlihat seekor anak kucing sebesar dua tapak tangan sedang menggelupur di tengah jalan. Masih kecil. Berwarna hitam bulunya dan putih di bawah badannya. Comel. 

Dia sedang bertarung nyawa. Terkial-kial kaki-kakinya cuba untuk berdiri namun saya yakin upaya berdirinya telah ditarik Allah kerana badannya yang mengiring dan tompokan darah merah di sisinya. Allah.... Sayu... Serasa hati ingin sahaja saya berhenti dan membantunya tapi trafik yang kini sudah pun bergerak semula membataskan keinginan itu. Lemah rasanya. Saya cuma mampu mendoakan anak kucing itu selamat dengan keajaiban daripadaNya. :'(


KISAH JUNIOR SAYA

Perginya seorang adik junior saya pada pagi ini yang menjadi kejutan buat semua sahabat. Tidak diduga. Tidak dijangka. Ujian kemalangan menjadi asbab. Saya hanya mengenalinya secara jauh namun saya cukup terkesan dari pemergiannya. Tidak henti-henti dari pagi tadi dinding-dinding mukabuku sahabat handainya memaklumkan tentang pemergiannya. Diiringi doa-doa yang tidak terkira kerana orang mengingatinya sebagai seorang sahabat yang mulia. Tidak terkecuali para pengajarnya dan orang sekeliling. Semuanya menerima dengan redha dan mengharapkan balasan yang baik buatnya. MasyaAllah.

Perancangan Allah yang rapi, hari ini juga adalah ulangtahun kelahirannya yang ke-23. Di usia 23 tahun dia pergi dengan mengejut. Serentak dengan itu menyampaikan peringatan lembut buat hati-hati yang masih bernyawa ini. Kematian tidak mengenal usia. Ia boleh jadi bila-bila masa sahaja. Peringatan yang pasti menemui kita.


كل نفس ذاءقة الموت

" Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati..."
(Al-Imran 185)


Allah...

Bagaimana pengakhiran aku nanti?
Adakah aku mahukan pengakhiran yang sia-sia?
Adakah aku akan diingati sebagai seorang yang menyenangkan hati dan dikasihi?
Mampukah aku berakhir sebagai hamba yang Allah redha?


RASA BERTUHAN


Imej: Carian Google


Menelusuri sifat-sifatNya, Allah...
Kembali merendahkan ego yang melangit
Meredakan amarah yang memuncak 
Meneutralkan rasa teruja
Mengembalikan rasa bertuhan...

Rasa bertuhan dalam sekelip mata membawa kita kembali sedar akan kedudukan kita di dunia ini. Sekelip mata juga tergambar di layar mata:
  • Apa matlamat akhir aku dijadikan? Adakah untuk merasai perjalanan duniawi semata untuk aku? Semata untuk keluarga? Demi umat?
  • Apa yang Allah ingin aku pelajari dari ini? Mendekatkan aku denganNya atau menjauhkan?
  • Apa yang telah aku buat selama ini, redhakah Dia pada aku?
  • Reaksi aku selama ini, redhakah Dia pada aku?
  • Tindakan aku selama ini, redhakah Dia pada aku?  

Persoalan yang perlahan-lahan membimbing diri ini kembali pada tujuan Dia menciptakan kita. 
Kembali mengesakanNya. 
Kembali mengagungkanNya.
Kembali menurut perintahNya.
Kembali memakmurkan dunia pinjamanNya.
Kembali menyusunatur kehidupan selaras ketetapanNya.

Semuanya untuk kita bahagia.
Bahagia sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.



No comments:

Post a Comment

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...